Wednesday 8 April 2015

Dia, Abang Terbang Ku!!!


KARUTAN KE-16


Tidakkah dia terlalu berbeza dariku. Dengan sepersalinan baju Melayu hitam siap dengan samping kelabu bertanjak, dan berkeris. Tidakkah dia umpama hero dari filem, dengan ketinggian enam kaki yang membuatkan dia menyerlah dalam keramaian ini.
Dan aku dengan sepersalinan kebaya labuh putih dari satin dipadankan dengan sedikit rona hitam sudah merasa hampir rentung bila renungan mata coklat kehijauannya bagaikan menikam anak mataku. Membuat aku tertunduk malu.
Aku merasa diri ini seperti bawang putih yang bertemu putera rajanya. Seperti Cinderella yang bertemu Prince Charmingnya. Seperti gadis manis yang bertuah setuah tuahnya dapat mempersuamikan seorang lelaki seperti abang terbang ini.
Ya Tuhan, tidakkah kami terlalu jauh berbeda? Dia begitu mengancam dan memukau dan aku bagai anak kecil di sisi abang terbang ini.
Aku menahan senyum bila langkahnya untuk mampir mendapatkanku ditahan oleh saudara mara. Umpama membayar tol pula, bila dihulurkan sampul berisi sedikit wang baru mereka melangkah ke tepi. Tersenyum melihat reaksinya yang seakan rimas.
Ha, baru awak tahu, ingat senang nak naik satu pelamin dengan saya. Hahaha.
Aku lihat wajahnya berubah kemerahan bila ditahan orang yang ke-10. Malu agaknya.
Abang Mat yang menahan, eh eh ku lihat abang Mat sudah membuka kuda-kuda. Sudah belum naik pelamin lagi takkan nak bagi bunga silat. Biar betul abang Mat ni.
Abang Mat mencabar Danial berlawan pencak dengannya. Terkedu aku kejap.
Sungguh tertib dan teratur bunga silat abang Mat. Tapi wajah abang Mat tidak menunjukkan nada bergurau seolahnya dia serius. Danial menyahut cabaran abang Mat dan mereka masing-masing menunjuk aksi. Kelakarpun ada melihat Danial membuka langkah Taekwando dan abang Mat silat.
Serangan abang Mat ditepis lembut Danial. Abang Mat ke depan menghulur penumbuk, dan Danial mengelak. Abang Mat hanya menumbuk angin. Sekali lagi abang Mat menyerang, dan aku lihat Danial lebih banyak bertahan dari menyerang.
Aneh abang kandungku ini kelihatan bersungguh mahu menyerang Danial. Berdebar dada melihat Abang Mat melompat sedikit dan cuba menujah kaki Danial, tetapi berjaya Danial tahan serangan itu. Abang Mat meludah ke tanah buat aku tambah saspens.
Suasana meriah tiba-tiba senyap. Paluan kompang terhenti. Bila abang Mat tersalah langkah, Danial mengambil kesempatan mengilas tangan abang Mat ke belakang dan aku mula cemas. Risau kalau Danial mengangkat dan menghempas abang Mat ke tanah. Tidak mustahil sebab dia lebih besar dan kelihatan lebih berpotensi untuk memenangi perlawanan ini.
Abang Mat ni kenapa pelik sangat? Lupa ke yang dia lawan tu pengantin lelaki? Dan Danial pula, lupa ke dia sedang berlawan dengan abang ipar sendiri di majlis kami? Aku toleh melihat Tok Aki, wajahnya keruh. Danial memandangku dan aku lihat dia berbisik sesuatu di telinga abang Mat. Dan aku lihat Abang Mat mengangguk.
Perlahan-lahan dengan wajahnya masih memandangku, Danial melepaskan abang Mat. Dan dia sempat pula memaut tubuh abang Mat dari terjatuh ke tanah.
Aku menarik nafas lega. Mereka bersalaman dan berpelukan lama. Suasana kembali meriah, dan bunyi kompang kembali dipalu.
Dia sudah dihadapanku. Hanya tinggal aku hulurkan tangan dan kami akan berjalan seiringan. Tetapi aku sengaja mahu menderanya. Mahu melihat wajahnya lebih lama dari balik kipas yang menutupi wajahku.
Kipas diwajahku perlahan dia turunkan, dan tajam anak matanya memandangku, dan aku tunduk tak tahan nak pandang. Terasa macam kena panah hati ini. Tepat mengena.
Dia senyum menayangkan giginya yang tersusun rapi. Mengapa sehingga kini wajahnya begitu melekat di hati ini. Adus dush dush dush Manja sudahkah hati batu kau bertukar menjadi air? Dia menyentuh daguku, meminta aku menatap matanya.
“Benci pada abang ke?”
Suaranya lirih, nadanya perlahan cukup untuk didengari aku dan pengapit kami sahaja. Aku menggeleng dan dia senyum senget, nakal sekali.
“Malu?”
Aku mengangguk. Mahu tak malu, satu kampung nampak aku yang legend terkenal dengan kenakalan akan menaiki takhta sebagai Raja Sehari bersama lelaki yang menjadi punca aku terpaksa panjat pokok dan jadi budak pizza.
Selama ini, aku ke hulu ke hilir bercatwalk dengan jeans lusuh dan T-shirt, hari ini aku seperti perempuan paling pemalu di hadapan lelaki yang sama. Siap pakai ala-ala model perempuan Melayu Terakhir gituu! Paling parah lelaki itu kini suamiku.
Dan dia sedang mentertawakan aku. Geram betul aku tengok dia sedap ketawakan aku. Sudahlah tadi dia bersilat dengan abang aku, takkan nak minta aku pula bersilat dengan dia. Geram aku pijak kakinya. Dia mengaduh dan memegang hujung kakinya. Haha, puas hati.
Dia hulurkan tangannya, aku pandang sepi. Perasan juga jelingan tajam emak. Tapi peduli apa, siapa suruh ketawakan aku.
Terkejut aku bila tangannya sudah memeluk bahu ku. Dan dia menunduk rapat sekali denganku. Bibirnya rapat di telingaku.
“Abang pun malu juga, sudahlah kena tol, kena serang dengan abang ipar pula tu. Susah betul nak bersanding dengan budak kecik ni.”
Aku senyum dan dia mendekat pada ku lagi.
“Tapi kalau berdua dengan Manja abang tak akan pernah rasa malu, malah bangga. That’s because you’re my baby, my beautiful baby.”
Aku memandang wajahnya. Dan dia mengangguk. Terasa panas wajahku malu, dan aku hanya membiarkan dia mengiringku ke takhta kami, yang dihias indah bak taman, dan aku bunganya, di sisi dia kumbangnya.
***

No comments:

Post a Comment