Tuesday 20 May 2014

Kerja Tuhan: Catatan ke-2 dan Ke-3

Kerja Tuhan
Penulis: Halilah Baharoddin
Catatan 2
Perempuan? Aku tidak pernah meminta dilahirkan sebagai mereka. Menjadi seperti aku yang hari ini juga bukan hasrat hati ini. Aku masih punya perasaan. Jadi jangan sakitinya.
Apa yang mampu aku katakan lagi, aku cenderung begini, berlagak seperti seorang lelaki. Begini membuatkan aku selesa.
Menjadi seorang perempuan itu remeh. Perempuan kulihat Cuma mainan bagi seorang lelaki kerana fitrahnya yang lemah.
Aku tidak mahu dianggap lemah. Kerana itu aku selesa begini.
Ibu seorang perempuan. Kerana kelemahannya sebagai seorang perempuan dia meninggalkan aku dan Ayah terkontang-kanting meneruskan kehidupan.
Kesilapan yang Ibu lakukan sebagai seorang perempuan merobek hati Ayah. Membuat dia memulau dan menidakkan kewujudanku sebagai anaknya. Hanya kerana aku seorang anak perempuan, dari perempuan yang telah menghancurkan hatinya harapan kebahagiaan hidupnya dan aku jua.
Mungkin Tuhan pun tahu betapa bencinya aku menjadi seorang perempuan. Kebencian ini menjadikan aku mahu menjadi sekuat lelaki, sekeras hati dan kelakuan mereka.
Dibesarkan oleh Ayah tanpa seorang Ibu membuat aku terbiasa dengan kehidupan seorang lelaki. Apa tidaknya, aku dibesarkan oleh Ayah yang tidak pernah peduli hidup dan matiku.
Semata untuk mendapat perhatiannya, aku cuba menjadi seperti Ayah. Aku cuba membanggakannya tapi dia tak pernah kisah. Lama-lama aku penat merebut perhatiannya, mencuba membuat dia sayang peduli padaku, aku jadi liar dan semakin liar.
Tidak ada yang peduli. Aku merasa bebas dan puas.
Namun sejak berpindah masuk ke sekolah ini. Ada sahaja yang tidak kena, ada sahaja yang sakit mata, sakit hati, sakit hidung sakit mulut dan segala-galanya sakit dengan kewujudan dan kehadiran aku, paling menonjol adalah Adrian.
Sejak hari pertama aku di sini, Adrian adalah orang yang paling ‘sakit’ bila melihatku. Ada sahaja yang hendak ditegurnya. Kebetulan kami sekelas, boleh kata setiap hari aku menjadi subjek gurauan dan sindirannya.
Mulanya aku diamkan, tapi bila sudah tahap menghina sampai melibatkan keluarga siapa boleh tahan? Buta hati sahaja kalau aku ni mampu bersabar lagi.
Peraturan wajib sekolah ini, pelajar perempuan beragama Islam wajib menutup aurat, yakni bertudung. Namun aku adalah satu-satunya yang melanggar peraturan tersebut. Terang jelas dan nyata hanya aku satu-satunya pelajar muslimah yang tidak bertudung.
Sudah berbuih mulut cikgu, tahi telinga ini pun sudah cair agaknya mendengar nasihat guru-guru. Tapi aku masih enggan. Bagiku buat apa bertudung kalau tidak ikhlas dan hanya kerana dipaksa mengikut peraturan manusia.
Aku tidak mahu menjadi penipu! Cuma bertudung bila di sekolah dan tudung dicampak entah ke mana bila keluar dari sekolah. Kalau aku mahu bertudung biarlah ikhlas dari hati sendiri bukannya dari paksaan sesiapa. Ikhlas kerana Allah.
Memang malang nasib ini, Adrian memegang jawatan ketua pelajar di sekolah ini. Jadi dia memang mempunyai kuasa untuk menegur minah yang tak berdisplin seperti aku. Satu hari waktu perhimpunan sekolah, dalam ucapannya yang tidak pasti disengajakan atau tidak dia menyentuh mengenai aurat dan kepentingan memelihara aurat bagi seorang islam.
Sepanjang waktu berucap, matanya tepat memandangku. Aku satu-satunya yang tidak bertudung, maka aku menjadi tumpuan. Semua mata memandangku. Aku tahu dia sengaja ingin memalukan aku.
Tak cukup memalukan aku dihadapan satu sekolah, hari ini kesabaranku sudah sampai di kemuncaknya. Aku harap dia tidak mengganggu dan mencampuri urusanku lagi.
Sekuntum bunga kemboja gugur dan jatuh di atas rambutku. Aku mengambilnya, aku terlurut terusap rambutku yang pendek. Bunga itu kuletak di atas tapak tangan. Kurenung. Kutenung dan kata-kata bisikan Adrian menjengah ingatan.
“…Allah swt menjadikan sesuatu itu bersebab sayangku. Allah telah jadikan kau dengan semulajadinya wanita yang sempurna, mengapa harus kau nafikan pemberian Tuhan untuk mu ini? Sedarlah…”
Bisikannya menyentuh hati ini. Ada benarnya kata-kata dia. Ah, persetan! Lelaki macam dia hanya pandai bermain kata-kata.Kalau aku berubah, aku tahu aku Cuma akan dipermainkan lelaki. Lelaki itu Cuma tahu mempermainkan hati aku.
Bengang, bunga di tangan aku campak ke tanah.
“Kenapa you buang Mir?”
Terkejut aku melihat Jeremy menunduk mengutip bunga kemboja putih itu kembali. Bila masa dia ada kat sini? Aku pantas menyapu mata, takut ada air mata yang bersisa.
Jeremy senyum, terpamer giginya yang putih bersih. Dia menghampiriku, turut duduk menyandar di pohon kemboja. Bunga kemboja itu diletakkan di atas pangkuanku. Cantik kemboja putih itu duduk berlawanan warna dengan warna kain uniform sekolahku, warna biru laut.
Melihat itu membuat marahku surut, dan Jeremy senyum. Perlahan senyumku turut terukir. Senang dengannya. Angin meniup dan bunga itu terusik dengan angin tapi masih utuh di atas pangkuanku.
Beautiful.” Ucapku spontan, memuji bunga itu.
Yes, you are.” 
Jeremy suka mengusik begini. Aku senyum geli hati, ku tunjuk penumbuk. Memberi dia amaran jangan nak mengada.
Dan ketawanya melatari suasana, marahku sedihku semuanya hilang. Jeremy memang sahabat terbaik yang kumiliki. Aku tahu dia pasti tahu apa yang berlaku dan aku senang dengan caranya memujukku.
***
Catatan 3
Seperti kebiasaannya malam minggu begini aku dengan kawan sejak kecil, Joe ‘membakar’ jalan. Singgah di mamak Corner sekejap melepas dahaga, pekena teh ais. Keluar dari bilik air, air sudah di meja dan tanpa fikir apa aku terus meneguk. Joe senyum melihat aku.
Dari jauh aku lihat sesuatu yang tak menyenangkan. Adrian! Aku buat tak nampak dan terus berborak dengan Joe. Pelik, kepalaku rasa berat semacam. Aku memicit-micit kepala.
“Kenapa, Mir?”
“Sakit kepala. Jom blah takut melarat.”
Joe bangun, begitu juga aku. Tapi pandanganku rasa berputar, rasa nak tumbang. Aku memaut meja, dan aku rasa Joe memautku, memelukku dan membawa aku keluar dari kedai mamak. Tapi semuanya samar dan berputar.

***