Wednesday 20 November 2013

Menjadi yang terindah

Salam sejahtera ke atas kamu saudaraku,

Angin menderu menampar wajah dan aku merasa tenang. Syukur diri masih mampu merasai belaian si angin yang mengasyikkan, limpahan cahaya matahari yang menggembirakan.

Meski ia kadang panas membakar wajah tapi aku puas kerna cahayanya bahangnya masih mampu kurasai.

Setapak aku melangkah, mindaku bergerak berputar berfikir. Saat sama, hatiku berkata-kata, kata hati itu tidak pernah mati, bukti nafasku masih ada, dan aku bersyukur.

Sungguh ia indah dan ia hadir dengan caraNYA yang tersendiri dan terindah dalam hari-hari kita sebagai manusia dalam dunia ciptaanNYA.

Aku sebagai manusia, sebagai ciptaan Allah swt yang terindah membuat hati terus mengagumiNYA, mencintaiNYA, menyayangi. Dan bersyukur lagi.

Tetapi mampukah aku menjadi yang terindah di mata NYA?

Indahnya dia tak tergapai di mindaku, tak mampu aku selami, apakah aku masih menjadi yang indah di mata DIA.

Sedang diri ini terus layu, layu dan layu...

Sebak dada menahan tangis, air menitis ke telapak tanganku.

Aku ingin menjadi yang terindah, tapi bukan dengan olesan gincu bibir, bukan jua berus maskara mahupun dimerahi serbuk blusher, aku mahu indahnya wajahku mampu menyejukkan dan menenangkan hati yang memandang.

Membuat lahar berapi kemarahan mencair bagai disiram air dari mata air yang paling dingin. Membuat kebencian itu bertukar kasih dan sayang. Sungguh aku kepingin...Ya kekasihku sungguh aku mahu menjadi yang terindah padaMU...


Wednesday 13 November 2013

Buat awak

Assalammualaikum awak,

Ya, awak yang bakal goncang tangan Tok kadi untuk dapatkan saya sebagai milik awak yang sah.
Jangan pandang tempat lain, jangan toleh belakang, jangan pandang kiri kanan atas atau bawah atau kerling mana-manapun. Ya, jangan buat tak faham tak tahu atau tak mengerti, awaklah orangnya itu wahai sayangku.

Saya bercakap khas dari hati saya hanya untuk awak, awak yang bakal menyebut nama penuh saya siap binti dan mas kahwinnya dalam lafaz akad awak nanti.

Awak,

Saya tidak pinta banyak, hanya meminta awak dapat menerima saya seadanya saya. Janganlah awak pinta saya untuk jadi sesuatu yang bukan fitrah dan lahiriah saya. Sesungguhnya saya akan cuba turuti permintaan awak selagi ianya tidak melanggar pesanan dan larangan kekasih kita yang satu, Allah yang maha Esa. Jika itu yang awak pinta, maafkan saya tidak akan mungkin saya lakukan.

Sepuluh jari saya susun memohon maaf seawalnya mungkin jika saya tidak dapat mencapai tahap yang awak mahukan.

Maaf jika kelak masakan saya tidak selazat seenak sewangi seharum masakan di restoran  kesukaan awak atau tidak setanding masakan ibu awak. Air tangan kami berbeza, tapi beri saya masa ruang dan waktu, insyaAllah akan saya pinta saya rayu mereka untuk rahsia keajaiban kelazatan air tangan mereka.

Andai saya salah, tegurlah saya dengan sebaiknya, gunakanlah bahasa yang sebaiknya. Janganlah awak kasari saya dengan kata-kata makian dan cacian. Janganlah jadikan saya seperti guni pasir untuk awak tendang, tumbuk atau hentak semahu awak. Jika itu jadi, jangan salahkan saya andai saya menyinga mengganas pada awak, kerna saya benci penindasan dan kezaliman. Saya mohon awak tidak jadikan saya isteri derhaka, ya.

Saya takut dengan panasnya api neraka, sedang panas mentari dunia sudah cukup buat tubuh kehangatan membahang, menggeletar kepanasan. Jadi saya harap awak tidak membantu saya menempah tiket ke neraka.

Awak,

Saya mahu membahagiakan awak, membuat awak senyum di samping saya, dan membuat awak rindu bila kita berjauhan. Jadi janganlah awak bebankan fikiran awak berseorangan, saya sudi menjadi tempat awak mengadu susah dan senang seperti mana saya mengharapkan bahu awak menjadi tempat saya menyandar bila letih, bila susah dan jua senang. Saya jua mahu awak berkongsi duka nestapa bahagia dan suka awak dengan saya juga.

Awak yang sentiasa akan indah di mata saya,

Saya harap saya juga akan menjadi sentiasa indah di mata awak.

Seperti mana keindahan itu, saya harap islam yang indah dan menawan itu dapat awak terapkan dan serapkan dalam kehidupan kita nanti. Permintaan dan kemahuan saya agar awak dapat membimbing saya di dalam mencari keredhaanNYA. Pimpinlah tangan saya agar bersama kita menghidu bauan syurga.

Awak,

Pasti awak sangat kacak berbaju Melayu, lengkap pula bersongkok dan kekacakan awak itu tiada tandingnya di mata saya bila wajah awak berseri seri dibasahi wudhu'. Bertambah memukau mata dan segala deria yang saya ada bila awak berdiri di hadapan mengimamkan solat kita. Kepingin rasa diri ini mendengar rintihan doa awak pada kekasih kita. Harapnya kita berkongsi rasa dan cerita yang sama.

Walau nanti awak sibuk mengerah keringat mencari rezeki buat menampung hidup kita, saya tidak mahu awak terlepas waktu menemuiNYA. Saya tidak mahu menjadi alasan awak terlepas waktu keemasan yang lima kali itu.

Saya harapkan kebahagiaan kita hingga ke syurga. Bukan hanya di syurga dunia sahaja.

Buat awak, doa saya sentiasa untuk awak. Tidak kira di mana awak berada kini, apa y
ang sedang awak lakukan saya sentiasa memohon padaNYA supaya memelihara awak menjaga awak dan membahagiakan awak. Semoga kecemerlangan dan kebahagiaan sentiasa bersama awak.

Walau saya masih tidak tahu awak siapa, atau awak di mana...

wahai bakal suamiku.

Coretan dari hati seorang gadis

13 November 2013
9 MUHARRAM