Wednesday 8 April 2015

Dia, Abang Terbang Ku!!!


KARUTAN KE-15

Emak muncul di muka pintu dengan inai dan aku sengaja pura memejamkan mata. Tidak sudi diri ini membiarkan inai mencemari jari-jariku. Aku sudah menuruti kehendak mereka semuanya takkan aku harus merelakan diri untuk berinai pula.
Emak tahu aku tidak suka berinai, rasa geli bila melihat warna hijau daun hampir kemerahan itu membaluti jari-jemariku. Sudah lah untuk majlis esok aku terpaksa bersetuju dengan permintaan emak untuk melihat aku bersanding. Huhu.
Macam tahu-tahu sahaja aku akan protes, emak terus memakaikan inai di jemari kakiku tanpa meminta keizinan dan aku hanya mampu duduk menyandar di dinding melihat emak dan sepupuku Maya mengerjakan jari jemariku dengan inai.
Dan aku tersengih kegelian bila terasa sejuk kakiku dengan balutan inai ini.
Mujur Danial tidak ada, mahu dia gelakkan aku kalau tahu.
Syukur Alhamdulillah Danial tidak diizinkan tinggal sebilik dengan aku malam ini. Kononnya demi untuk menjaga seri pengantin, untuk majlis persandingan kami nanti. Alhamdulillah maka terselamatlah aku dari terpaksa bersendirian berduaan dengan abang terbang itu. Ops silap suamiku.
Aduh penatnya badan duduk menyandar lama-lama begini. Perut pula mula berbunyi, main lagu keroncong lapar minta diisi. Ya lah, satu hari ini masih tidak sempat menjamah apa-apapun. Menghilang rasa lapar, aku kuatkan nada suara handphone mendengar lagu Steelheart.
Mata pula memerhati ruangan bilik yang sudah dihias indah untuk meraikan malam pertamaku dan dia sebagai pasangan suami isteri. Mengenangkan itu, aku menelan liur. Malam ini aku terlepas, Alhamdulillah. Tapi sampai bila.
Penuh bilikku dengan 44 jenis hantaran dari Danial, dan hantaran yang paling aku terkedu melihatnya adalah hantaran yang memuatkan sekeping replica cek bernilai Ringgit Malaysia 111,111.11, wang hantaran Danial untukku.
Jumlah yang kuminta dalam gurauan saat dia bertanya padaku dahulu. Kalau aku tahu memang aku takkan jawab. Tak sangka dia serius dan mengotakan permintaanku.
Satu masa ketika aku sibuk menyemak harga stok baru, dia menyibuk menolongku. Sempat pula bertanya kalau ada orang masuk meminang, aku nak minta hantaran berapa.
Dengan mesin price tag di tangan, aku memutar- mutar nombor sehingga menjadi RM 111,111.11 dan melekatkan tanda harga itu ke tangannya.
“Are you sure?”
“Kalau tak mampu, tak payah berangan.”
Niat ku Cuma untuk memprovok dan bergurau, tak sangka dia serius.
Pasti orang yang mulutnya jahat dan otaknya negative, akan mengata keluarga ku mahu menjual anak dan aku mata duitan. Mentang-mentang keluarga pengantin lelaki orang ada-ada, suka-suka lah meminta sampai nak potong kepala mahalnya. Dan orang yang baik dan romantic akan memuji Danial dan mengagumi sifatnya yang pemurah dan romantic.
Mujur Emak dan Tok Aki bijak menyembunyikan fakta wang hantaranku, dan jumlah wang hantaranku Cuma diketahui oleh Danial, Mamanya, emak dan Tok Aki saja. Syukur. Tapi aku masih ralat. Rasa macam nak pulangkan saja wang yang sudah dimasukkan ke dalam akaunku.
Handphone berbunyi, SMS dari abang terbang. Dengan penuh susah payah aku menekan punat handphone berhati-hati menjaga inai. Rosak inai nanti kena marah pula.
-Budak kecik, buka tingkap bilik, please.
Di luar bunyi hujan kedengaran. Haissy, takkan dia nak dating macam hari itu, kan hujan.
Nak balas SMS dia memang tak mampu, nanti habis inai. Perlahan aku bangun dan membuka tingkap, tengok sekeliling, tak nampak apa-apapun. Dan dengar namaku dipanggil, dia di situ, dengan membawa tangga dan di tangannya ada plastic merah jambu.
“Awak dah gila, hujan ni bahaya tau tak?”
Aku rendahkan nada suara, tidak mahu sampai orang lain terdengar. Bukankah kami dilarang bertemu apatah lagi berduaan malam ini?
Dia angguk, mengakui dia gila. Aku menggeleng dengan pengakuan jujur abang terbangku.
Aku hanya memerhati dia membuka lipatan tangga dan mendekatkan tangga ke tingkap. Dia memanjat tangga dan menghulurkan plastic yang aku lihat berisi polistrin makanan kepadaku. Aku buat muka pelik, namun kusambut juga.
“Abang lapar. Boleh kan Manja teman abang makan. Abang tahu manjapun lapar juga.”
Aku undur ke belakang sedikit memberi dia ruang untuk masuk. Gementar rasanya bila melihat si tinggi lampai yang kini suamiku yang sah masuk berdiri di dalam ruangan yang sama denganku, hanya kami berdua.
Aku berdiri menyandar di almari dan dia di tepi tingkap. Aku menahan rasa gementar. Bibirku ketap.
“Jangan risau, abang takkan makan Manja. Abang nak ajak Manja makan nasi goreng ayam ni. Jom.”
Danial menghampiri dan mengajak aku duduk bersila di tepinya. Aku menurut, penuh hati-hati aku duduk tidak mahu inai rosak mahupun mengotori lantai. Dan dia memerhati tindak tanduk ku penuh minat dan perhatian.
Dua bungkus nasi goreng ayam dia buka dan susun di hadapan kami. Nampak menyelerakan tapi seleraku terbantut bila mengingatkan inai di jari. Waaaa, macam mana nak makan, nak suap? Huhu…laparlah.
Memang menguji kesabaran dan iman bila melihat nasi goreng ayam di hadapan mata, menanti untuk dinikmati tapi diriku tak mampu. Aku renung sepuas hati, minta dapatlah mengenyangkan mata, dan sedapkan perut huhuhu.
Danial sudah menadah tangan membaca doa makan, dan aku mengaminkan.
Dia memandangku bila aku masih lagi memandang nasi dihadapan mata. Dia menunduk memandang nasi dan aku memandang tajam dan geram dia yang sedang memotong ayam kecil-kecil.
Huh, memang tak prihatin langsung suamiku ini, takkan tak terfikir aku nak makan macam mana. Lepas tu boleh pula makan sorang-sorang walhal tadi beria ajak makan sekali. Makan depan aku pula tu!
Aku menarik muncung, namun terkejut bila sudu berisi nasi goreng sudah dihala kemulutku. Dia memberi isyarat mata meminta aku membuka mulut. Perlahan dalam hati yang penuh terharu dan sesal kerna merajuk sebentar tadi, aku membuka mulut. Dan bibirnya mengungkap bismillah bila menyuapku.
Dia senyum melihat aku, dan aku juga ikut senyum. Malunya dah besar-besar gini makan kena suap, dengan suami pula tu. Patutnya aku suap dia. Aku melihat dia menyuap makanan ke mulutnya pula, wah kami berkongsi makan dari sudu yang sama, dan tangan yang sama.
Rasa sejuk cair hatiku yang begitu membencinya sebelum ini.
Tersenyum aku bila melihat setiap kali menyuapku, mulutnya jua ikut menganga. Terasa lucu.
Sudahnya habis sebungkus nasi goreng ayam disuapnya ke mulutku. Dan aku menyandar kekenyangan ke dinding sambil memandangnya berusaha menghabiskan nasi. Dia kelihatan khusyuk menikmati juadahnya.
Mataku ralit memerhatikan dagunya yang terbelah cantik dan bulu matanya yang melentik. Aduh suamiku memang bisa buat sesiapa yang memandangnya terbang ke langit dengan keindahan wajahnya.
Aduh, Manja jangan terlalu cepat melayan perasaan. Bukankah dahulu kau laungkan benci, bukankah dia yang menyebabkan kau menjadi isteri dalam usia yang begitu muda.
Tidak sedar entah bila aku terlena. Sedar sahaja aku sudah terbaring di atas katil dan abang terbangku sudah tiada cuma tinggal pesanan ringkas di sekeping tisu.
Mujur abang masih mampu menahan diri dari jadi vampire. Kalau tidak hancurlah inai di jari. Tapi budak kecik ku, siapa dia abang terbang yang meniti di bibirmu waktu tidur? Abang cemburu tahu, harap jawab pertanyaan abang. Kalau tidak siaplah…
Aduh, aku mengigau? Sudah tu tak senonoh boleh tertidur macam ular sawa kekenyangan pula tu siap dia angkat aku naik atas katil. Aduh, tak terkira malunya.
Kalaulah dia tahu yang abang terbang itu dia, lagilah bertambah malu ku. Mujur tak jadi apa-apa.
Klasik Nasional betullah abang terbang ini. Ada pula main tulis-tulis pesanan ringkas atas tisu macam ni? Padahal bukannya tak boleh berSMS.
Mengingatkan peristiwa malam tadi, aku senyum sendiri. Apakah benciku pada dia sudah berkurang? Benarkah aku membenci perkahwinan ini?
***

No comments:

Post a Comment