Wednesday 8 April 2015

Dia, Abang Terbang Ku!!!



KARUTAN KE-14


Hanya dengan sekali lafaz aku, Manja Auliya binti Luqman sah menjadi milik abang terbang yang sah. Abang terbang aka superman ku, Aufa Danial bin Ebrahim Liam.
“Tiap-tiap aku Aufa Danial bin Ebrahim Liam tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku Manja Auliya binti Luqman tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana Kadi Syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak.
Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku Manja Auliya binti Luqman kepada mana-mana Kadi Syariah dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka mengakulah aku akan bertaklik seperti yang dipersetujui Kadi itu.Sekiranya ingkar aku daripada bertaklik sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu.
Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku Manja Auliya binti Luqman, dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.”
Tenang dia melafazkan lafaz taklik untukku. Aku mendengar penuh perhatian, cuba memahaminya.
Kini aku memang miliknya yang sah, lari atau terbang mana sekalipun, aku kini isterinya dan dia suamiku. 
Emak memelukku, air mata emak terasa menitis jatuh ke tanganku dan emak mengusap pipiku, bibirnya mengucap terima kasih. Air mata emak aku usap, tidak mahu emak menangis keranaku, walaupun itu air mata gembira sekalipun.
Mata ku tidak mampu untuk memandang dia yang kini sedang berjalan menghampiriku.
Abang terbang ku yang melangkah penuh gagah dan tampan dengan sepersalinan baju Melayu putihnya, lengkap bersamping. Sangat indah dia di mataku saat ini, lupa terus penolakan dan penafianku sebelumnya. Dan bila anak mata coklat kehijauannya memandang tepat ke mataku, aku tertunduk malu.
Di belakang dia, abang Mat dan Tok Aki. Sengih Tok Aki sampai ke telinga rasanya, Alhamdulillah syukur aku dapat membahagiakan hati kesayanganku ini.
Syukur kesihatannya kian hari kian pulih. Kadangkala syak wasangka timbul jua, mungkinkah Tok Aki berlakon diserang sakit jantung hari itu untuk membuat aku bersetuju dengan permintaannya.
Tapi malas mahu membahaskannya lagi. Mungkin memang sudah ketetapan Allah swt jejaka tinggi lampai, berdarah kacukan muka Superman ini menjadi suamiku akhirnya.
Danial meminta Tok Aki memberi kami kelonggaran untuk menunaikan solat sunat selepas akad nikah dahulu. Mensyukuri diri yang telah selamat diijabkabulkan.
Pertama kali menjadi makmumnya, hatiku berdebar. Air mata menitis mendengar doanya meminta perhubungan kami suami isteri terhindar dari panahan jahat Iblis dan syaitan, kami dapat hidup aman dengan izin Allah swt. Doanya diselitkan juga harapan supaya perhubungan ini dapat melahirkan warisan yang dapat memberi bakti kepada agama, Negara dan bangsa.
Aku tertunduk malu. Dia berpaling menghadapku.
“Assalammualaikum Manjaku…”
Aku mendongak wajah dan kami bertentangan mata. Salamnya Cuma kusahut dalam hati, rasa tak keluar suaraku.
Aku tertunduk, tak tahu mengapa terasa gementar dan malu menyelubungi diri. Aksiku disambut ketawanya.
Tanpa dipinta, aku hulurkan jari-jariku dan dia tersenyum hampir tersengih melihat aku yang kekok dan gementar.
Aku tarik kembali tanganku sebelum sempat dia menyambar. Terasa panas wajahku bila aksi kami disambut ketawa saudara yang memenuhi ruangan bilik dan dirakam pula kamera. Malunya, adus.
“Cherie, give me your hand please…”
Panas wajahku mendengar panggilannya untukku.
Tangan kuhulurkan dan dia menyambutnya. Dia senyum bila tanganku sudah digenggamannya, tapak tanganku yang sejuk terasa hangat dengan sentuhannya. Perlahan dia menyarungkan cincin di jari manisku, dan emak berbisik meminta aku menyalami tangan Danial.
Dan aku akur, tangan kanannya kuraih, aku salam dan aku kucup. Lama bibirku menetap di situ kerna terasa tangannya mengusap kepalaku.
Dia bersuara yang hampir kepada bisikan. Aku terpegun, terpaku.
“Ya Allah, aku memohon kepadaMu, kepadaMu yang Maha Berkuasa, hanya padaMu aku berlindung dari segala kejahatan. Ya Allah berkatilah isteriku dan lindungilah dia dari segala kejahatan dan keburukan.”
Mendengarkan bisikannya aku terkedu, rasa penafian dan memberontak semua hilang.
Air mata setitik jatuh ke tangannya dan aku spontan mendongak. Aduh!
Kepalaku terlanggar dagunya, tidak menyedari Danial begitu hampir tadi. Malunya bila kelakuan kekok dan kabut ku ini disambut oleh ketawa pemerhati.
Dia ketawa dan aku tersipu malu. Aduh Manja. Perlahan dia menghampiri aku kembali dan dia mengucup ubunku, terasa lama dan hangat kucupannya. Bila mata kami bertentang, aku tidak mampu bertahan, aku tewas dan tertunduk malu.
“Thank you, budak kecik.”

No comments:

Post a Comment