Wednesday 8 April 2015

Dia, Abang Terbang Ku!!!


KARUTAN KE-13

Walaupun kelam kabut tetapi semuanya berjalan lancar. Aku berjaya menghabiskan kursus perkahwinan dengan jayanya. Makin nak dekat tarikh pernikahan aku dan dia, makin sukar untuk aku ketemu Danial.
Pertemuan sewaktu memilih cincin pernikahan, itu adalah yang terakhir. Dia sibuk begitu jua aku. Aku sibuk dengan emak dan Mama Danial yang mengheretku ke sana sini menyiapkan persiapan majlis dan persiapan diriku. Dia pula entahlah, tidak ku tahu dan tak pernah kutanya. Nak tanya macam mana, nombor dia pun tidak kusimpan.
Cuma dari Mama, ehem ehem haruslah panggil Mama bakal mak mertua punya permintaan, nanti kecil hati pula. Kata Mama, Danial sedang sibuk dengan urusan kerjanya, urusan memindahkan segala urusan perniagaannya ke Malaysia.
Sumber maklumat Mama memberitahu Danial tidak jadi pulang ke New York. Segala urusannya  di New York ditangguhkan hingga selesai majlis kami nanti.
Malas aku nak campur, biarlah janji semua orang bahagia. Dan aku, entahlah tidak pasti. Hatiku berdebar gila, iyalah siapa tidak berdebar nak masuk alam rumahtangga, usia muda pula tu. Kadangkala rimas jua bila terpaksa mengikut kehendak keluarga dan menidakkan kemahuan sendiri.
Pagi ini, rasa rimasku makin memuncak. Berhari lamanya aku terperuk di rumah, aku rasa aku nak keluar hirup udara segar di luar. Rasa nak beku akalku duduk sahaja di rumah, mendengar pula bebelan Emak dan abang mat ditambah pesanan Tok Aki.
Manja Auliya nanti jadi isteri Aufa, jangan kau buli pula Aufa tu, dengar cakap Aufa, jangan merayap, jangan buat perangai jantan kau lagi, Manja jangan itu Manja jangan ini.
Aduh! Mereka ni ingat aku ni kaki buli ke? Tahulah aku ni serba serbi kurang, Aufa Danial mereka tu sempurna sangat ke?
Mereka terlalu berharap buat aku rimas dan lemas.
Rasa kelakar pula curi curi keluar dari rumah sendiri waktu siang begini. Amri tergelak besar bila dapat tahu aku curi-curi keluar dan dia siap nyatakan betapa tak percayanya dia ada orang mahukan aku. Dan aku buat request supaya dia jadi pengapitku dan dia menolak dengan jayanya.
Iyalah mana ada pengapit pengantin perempuan seorang lelaki. Haissyy aku ni mana ada kawan rapat perempuan, Amri itu lah satu sahabat, kawan dan teman ku.
Sampai rumah sudah maghrib dan ‘firaun’ sudah menunggu di depan pintu.
“Dah nak jadi bini orangpun tak reti nak melekat di rumah.”
Aku buat muka ikan masin, malas nak layan dan nak dengar. Helmet aku campakkan ke lantai, dan secara tak sengaja helmet itu terkena jambangan bunga telur yang baru siap digubah. Aku lihat wajah abang mat berubah.
Tangan Abang Mat sudah siap untuk menamparku. Aku sudah siap sedia, iyalah salah sendiri. Tapi tak faham betul kenapalah abang Mat sejak kebelakangan ini marahnya asyik nak dilepas padaku. Aku ni adik dia, bukannya dia cuba nak faham aku. Asyik nak marah-marah dan menampar saja tahu. Firaun betul.
Tangan abang Mat disilang tangan Danial. Bila masa pula dia ni sampai?
“Mat, jangan kau berani.”
“Dia ni adik aku, sudah tugas aku menegur dia kalau dia salah.”
“Dan aku bakal suami dia. Tegur bukan dengan tangan sahaja Mat, gunakan kata-kata, nasihat, gunakan nada yang lembut dan memujuk. Jangan lepaskan emosi kau pada orang lain Mat. Jangan jadikan Manja tempat pelepas geram kau.”
Abang Mat terdiam, perlahan tangannya dijatuhkan dan aku menarik nafas lega. Abang Mat berlalu masuk ke dalam biliknya tanpa kata.
Bila dia memandangku, aku mula jadi kekok. Pandanganku tersorot pada jambangan bunga telur di lantai dan aku tahu pandangannya juga di situ. Aku rasa serba salah dibuatnya, tak mahu dia ingat aku sengaja jatuhkan bunga telur untuk majlis kami ini.
Pantas aku bongkokkan badan dan mengutipnya, bedebuk kepala kami berlanggar. Tak sangka dia pun sama, nak kutip bunga yang bersepah ini. Adus malu plus sakit.
“Maaf.”
“Terima kasih.”
Serentak kami berdua bersuara. Dan aku tersenyum bila melihat dia senyum, senyum abang terbang yang dah lama dah ku tak lihat dan selami. Iya lah duk sibuk lancarkan konfrontasi mana sempat nak nikmati keindahan Allah swt ini.
Konfrantasi yang akhirnya tak membuahkan apa-apa hasil. Terpaksa kah aku menerima dia sebagai suamiku? Sungguhkah aku membencinya? Sungguhkah aku tidak boleh menerima dia dalam hidupku, dalam hatiku?
Persoalan yang aku sendiri buntu mencari jawapannya, kerna perasaan marah lebih menguasai setiap kali aku memikirkan permintaan Tok Aki. Sungguh hipokrit aku ini, di mulut ku kata aku rela tapi hakikatnya di hati meronta.
Di hati aku akui memang terusik dengan hadirnya Danial, tapi aku tidak mahu seperti ini, diatur dan terlalu pantas. Tidak suka.
“Manja Auliya?”
Tangannya sudah melambai-lambai di mukaku. Hu malunya boleh pula termenung di depan dia.
“Manja sudah solat maghrib?”
“Abang?”
Sudah itu pula yang kukatakan, siap bertanyakan dirinya dengan gelaran abang pula. Dia senyum yang begitu menaikkan seri wajahnya.
Tak mampu menatap lama matanya, dagunya yang terbelah cantik menjadi tumpuan mataku, sudah ada anak-anak janggut menghiasinya, menampakkan lagi kematangan dirinya.
“Kena ambil wudhu’ semula, abang nak ikut Tok Aki ke surau, tapi dah kena tinggal. Alamatnya solat di sini sahaja lah. ”
Pastilah wudhu’nya kena diambil semula, kan berlanggar denganku tadi, aduhai kasihan dia.
“Manja, dah lah pergi lah solat. Nanti lepas isya’ boleh jumpa kejap ada benda abang nak bincang.”
Hati berdebar gila menanti isya’.
Dalam doa kupinta kelembutan hati dan ketenangan fikiran. Aku harap dapat mengikhlaskan hati menerima semua ini.
Handphone berbunyi tepat pukul 9 malam, melihat nombor asing tertera aku buat bodoh. Kubiarkan sahaja tak berjawab.
Lima kali missed calls dari nombor yang sama, dan SMS masuk.
-Dah sampai bulan ke? Or patah tangan sampai tak boleh pick call abang?
Abang? Abang mana pula ni? Takkan abang Mat tukar nombor kut? Kalau dia tukar nombor sekalipun, apalah gunanya dia call aku, walhal kami tinggal serumah, dah jadi firaun tadi agaknya malu nak cakap berdepan kut.
-Nak apa abang Mat?
-Tak simpan nombor abang ke? Ini bukan Ahmad Hassan lah.
Adus, habis tu siapa pula ni, bahaya siap tahu nama penuh abang aku lagi.
-Habis tu, siapa ni?
-Your future husband.
Aku terkedu. Danial. Dia kata nak jumpa tadi. Mungkinkah dia? Handphone berbunyi lagi.
-Diam sahaja. Ni berapa ramai future husband dia ni?
Baru nak balas sms darinya, panggilan masuk, terketar aku menjawab. Entah mengapa. Rasa lain sangat mendengar suara dia di telefon, terasa dekat sangat. Salam yang dia beri kujawab.
“Manja ku.”
Tidak aku sahut, tidak jua aku mengiakan panggilannya.
“Buka tingkap bilik sekejap.”
“Nak buat apa, dah malam lah.”
Terdengar bunyi tingkap bilikku dibaling dengan batu dari luar. Mulanya perlahan tapi bila makin galak, pantas aku buka.
Dia tersenyum lebar di tepi Storm nya. Di tangannya sudah siap sedia batu untuk membaling namun handphone masih terlekap di telinga. Sadis juga abang terbang ini, main lontar ‘peluru’ pula malam-malam begini. Mujur tak ada yang perasan.
Aku menjauhkan handphone dari telinga, berkira-kira untuk menamatkan panggilan, tapi tangannya dikembangkan melarang. Oho, dia melarang aku menamatkan panggilan.
Dan aku ikutkan sahaja kemahuan mengarut dia ini. Buat bazir duit sahaja, sudah di depan mata tapi masih nak bercakap dalam telefon pula.
Rasa kelakar pun ada, aku duduk di alang tingkap dan dia berdiri menyandar di Storm. Berdepan begini tetapi handphone menjadi penyambung pengutus bicara.
Seorang gadis duduk di alang tingkap, di bawah bakal suaminya memandangnya penuh perhatian.
Bulan menyinar menemani pertemuan kami. Ah berangan lagi aku terasa bagai di bawa terbang oleh pandangan mata coklat hijaunya yang redup dan bagai menikam-nikam.
“Tok Aki tak kasi abang jumpa Manja, tak elok katanya. Jadi kita date macam ni saja tak apa kan. Janji dapat tengok muka.”
Wajahnya didongak menghadapku.
“Kenapa tak boleh pula? Tadi maghrib elok saja.”
“Maghrib tadi pertemuan tak disengajakan, jadi Tok Aki dan emak maafkan. Tapi kalau disengajakan seperti ini kalau Tok Aki tahu, siap lah kena karate. Emak kata tak elok kan kita nak nikah lagi tiga hari lagi, tak manis berjumpa berdua, iyalah darah masing-masing manis, takut jadi vampire pula, hilang kemanisannya nanti.”
Dia memanggil emakku emak, membuat hati aku sedikit terusik. Lucu pun ada dengar penjelasan dia. Adakah disamakan aku dan dia seperti Pontianak pula?
“Kenapa senyum?”
“Bila masa saya senyum?”
“Bulan terang malam ni, abang nampak lah muka dia berkeriut sengih nampak gigi, habis mata mengecil semua, dah macam emak Tarzan duk melamun kat tingkap. Jaga-jaga jangan sampai jatuh dari tingkap pula terpegun tengok abang.”
“Aufa Danial!”
Geram aku, adakah aku yang senyum comel begini disamakan dengan emak Tarzan si cimpanzi itu? Sempat pula dia masuk bakul angkat sendiri. Agaknya bakul tu pun tak mau terima dia, dah rabak koyak lerai semua.
Dia ketawa, dan irama ketawanya bermain di telinga menimbulkan rasa aneh itu kembali. Aku membetulkan dudukku di alang tingkap, tak mau pula terlalu terpesona nanti terjatuk gedebuk ke bawah. Buat jatuh saham saja, eh sekejap bukankah sahamku sudah ditempah si dia yang di tanah ini.
“Amboi sukanya gelakkan orang. Kalau saya emak Tarzan, awak tu bakal suami si C-O-M-E-L ini tau tak?”
“C-O-M-E-L- apanya rambut depan panjang belakang pendek, tercacak tengah-tengah macam pakai antenna? Tapi iya lah kan, macam manalah abang boleh kenan nak ambil manja jadi isteri ya, agaknya manja has implanted some sort of enchantment kat otak abang kut.”
“Danial!!!!”
Aku memandangnya geram, terasa panas wajahku malu.
“Manja, bagi abang Manja adalah yang terindah, tercomel tercantik di mata ini. Makin manis bila manja tertunduk malu bila kita bertentangan mata, dan makin comel bila Manja nak menafikan abang. Bertambah cantik bila Manja cuba menafikan kecantikan itu. Keindahan Allah swt yang cukup membuatkan abang tertarik, tertawan dan terpesona.”
Panas wajahku mendengar pujiannya.
“Saya tahu. Terima kasih.” Sengaja aku mengenakannya.
“Iyalah siapa lagi nak puji bakal isteri abang ni kalau bukan abang sendiri.”
Tengok tu, dia pusing balik kenakan aku. Dia sengih, aku mencerutkan muka. Sekejap serius sekejap melawak. Aduhai abang terbang.
“Manja Auliya.”
Dia sudah duduk di bonet depan Storm, masih memandang aku. Aku memegang kejap alang tingkap, rasa lain sangat renungannya itu.
“Ya.”
“Masih marah lagi?”
Teringat jambangan bunga telur yang terjatuh terkena layangan helmetku dan pasti sahaja Danial melihat itu.
Aku menggeleng, ah hipokritnya aku. Terdengar perlahan sahaja dia mengeluh.
“Kalaulah…”
Dia diam kemudiannya. Tidak menghabiskan kata-katanya.
“Kalau apa?”
“Tiada apa-apa.” Sekali lagi dia berdehem membetulkan suara.
Tertanya aku dibuatnya apa yang dia cuba sampaikan.
“Masih ingat offer abang dulu?”
“Oho, yang gaji ribu riban tu? Kenapa?”
“Terima kasih kerana menerimanya, dan abang akan cuba penuhinya. InsyaAllah. Abang janji akan cuba bahagiakan Manja, takkan buat Manja menangis lagi, seperti mana Manja menangis sebelum ini, urm?”
Terasa meremang bulu di tangan mendengar suaranya yang membisikkan janji. Sungguh aku rasa keliru, sungguhkah aku tidak mampu menerimanya, atau Cuma akalku yang menafikan rasa ini.
“Kenapa diam, sayang?”
Aduh lemah sungguh mendengar suaranya, tertunduk malu aku bila matanya masih merenungku.
“SubhanAllah, Cantiknya.”
Terpinga aku mendengar dia berkata begitu, kata pujiannnya itu merujuk apa, akukah? Dan aku dengar irama ketawanya, lucu agaknya melihat wajahku.
“Manja abang kelihatan cantik tertunduk manis begini, abang melihat manja bagai puteri kayangan yang menggoda abang di bawah cahaya bulan, memanggil-manggil abang, buat abang rasa mahu terbang mendapatkannya.”
Aduh hilang segala kemachoan hero korea yang kucuba tayang padanya, melurut layu dengan pujian dan kata-katanya.
Terdengar perlahan dia beristifar.
“Sudah lah Manja, pergi lah rehat. Tutup tingkap rapat-rapat, Abang takut nanti abang betul-betul jadi vampire pula.”
Malam tidak kutahu bila diri ini lena. Lenaku ditemani dengan bayangan anak mata coklat kehijauan yang redup memandangku penuh perhatian. Dan aku terbawa dengan rasa gementar mengenangkan hari penyatuan kami yang kian mendekat.

***

No comments:

Post a Comment