Wednesday 8 April 2015

Dia, Abang Terbang Ku!!!


KARUTAN KE-12

Aku menjauhkan diri dari Abang Mat dan emak dengan mengasingkan diri jauh di satu sudut. Air mata menitis lagi.
Ya Allah janganlah terjadi apa-apa pada Tok Aki. Aku janji aku sanggup lakukan apa sahaja janji Tok Aki tak apa-apa.
Aku sudah hilang baba, aku tidak mahu kehilangan Tok Aki pula. Tidak bukan pada saat aku tidak sempat meminta keampunannya.
Bahu ku disentuh dari belakang.
Tangan yang menekup muka kubuka, muka mendongak melihat dia yang menunduk memandangku.
Dari berdiri dia sudah duduk disisiku. Wajahku diperhatinya ditelitinya, terasa tajam menikam mata coklat hijaunya memerhati sudut bibirku yang lebam kesan tangan abang mat. Terasa panas wajah.
“Kasihan Manja abang.”
Aku tersenyum bila dia meniup ke arah luka itu.
Kelakarnya dia ni, sebiji dia buat aku macam aku budak kecik. Apakah sebenarnya yang ada dalam hatimu buatku wahai abang terbang ku?
Apakah aku hanya tanggungjawab? Tiada sekelumitkah sayang kau buat aku.
Walau bukan ini yang kuharap, tapi sekurangnya jika kau kata kau sayang terubat sedikit rasa sakit dipaksa buat sesuatu yang aku tidak rela.
“Sakit lagi?” lembut sahaja dia bertanya, terasa begitu diperhati dan dipeduli.
Teringat di Pizza Hut hari itu, bukan main garang lagi dia. Macam nak dibunuhnya aku. Hari ini lembut pula, sudah surutkah marahnya padaku?
“Mat ni berani dia sakitkan manja abang. Manja tak apa-apa?”
“Tok Aki.” Aku meluahkan kerisauan.
“Alamak lupa pula abang. Tok Aki dah sedar, dia nak jumpa kita.”
Sepantas kilat tanpa menunggu dia, aku berlari masuk ke dalam wad yang menempatkan Tok Aki. Tok Aki tersenyum namun tetap nampak lemah. Aku duduk dan memegang tangannya meminta ampun dan maaf.
Aku perasan pandangan Danial pada abang Mat. Kelihatan mereka seperti berlawan mata, tahu sangat maksud pandangan mata Danial. Pastinya dia marah dengan tindakan Abang Mat padaku.
“Aufa Danial dan Manja Auliya, Tok Aki ni rasa tak lama lagi dah, rasa macam dah dekat sangat nak jumpa arwah Johan.”
“Tok Aki, jangan cakap macam ni, Manja tak suka.”
“Manja, tahu kan Tok Aki sayang sungguh kat cucu Aki yang seorang ni. Kamu tahu kan yang Tok Aki tak pernah nak buat sesuatu yang akan sakitkan hati kamu. Kamu tahu kan semuanya yang Tok Aki buat sebab Tok Aki sayang kamu. Lindungi kamu dan sayangi kamu dengan cara yang Tok Aki tahu.”
Aku mengangguk laju.
“Cuma satu Tok Aki minta, tolong terima permintaan ini. Tok Aki tak minta lain, ini sahaja yang Tok Aki nak tengok sebelum Tok Aki pergi.”
“Cakap apa saja, Manja akan buat. Asal Tok Aki bahagia. Manja sanggup.”
“Aufa?”
Aku lihat Danial mengangguk.
“Tolong nikahi cucu Tok Aki, tolong jaga dan lindungi dia dengan kasih sayang kamu, tolong jaga dia seperti mana kamu menjaga maruah dan nyawa kamu. Sayangi dia seperti mana kamu sayangkan nyawa kamu. Cintailah dia seikhlas hati kamu, terimalah dia apa adanya dia dan tolong bimbing dia menjadi seorang isteri yang baik dan taat kepada Allah swt. Jangan kamu kasari dia, didiklah dia dengan sebaik-baiknya seperti mana janji kamu kepada Tok Aki, Tok Aki harap kamu tak lupa, Aufa.”
Aku terkedu, semakin terkedu bila melihat Danial mengangguk.
“InsyaAllah, Tok Aki. Saya akan menikahi dia, menyayangi dan mencintai dia seadanya dia. Demi Allah saya akan sentiasa cuba lakukan yang terbaik. Tapi Tok Aki, kita juga harus dengar kata Manja, saya tak nak dia rasa dijerat dalam hal ini.”
“Manja ada bantahan?”
Aku menelan liur, demi kebahagiaan dan kesihatan Tok Aki, apapun aku sanggup. Aku ketepikan rasa hatiku yang mmberontak dan kata-kata Aufa adik Danial kembali terngiang. Mungkin ini adalah yang terbaik. Mungkin dia jodoh yang ditetapkan Allah untukku. Mungkin ini yang terbaik.
“Tak ada Tok Aki. Manja ikut sahaja.”
“Kalau gitu, dalam bulan ni juga Tok Aki akan nikahkan kamu berdua. Kamu janji dengan Tok Aki ya Manja.”
Bulan ini juga? Bulat mataku mendengarnya, biar benar Tok Aki ni. Tapi aku menggangguk jua, tak ada pilihan, bukankah aku sendiri yang setuju tadi. Oh tidak!

***

No comments:

Post a Comment