Wednesday 8 April 2015

Dia, Abang Terbang Ku!!!



KARUTAN KE-10

Hari kedua sebagai budak penghantar pizza memang menguji kesabaranku.
Ex5 abang Mat rantai, tinggal RXZ sahaja. Nak tak nak kena lah cari duit buat belanja. Sudahnya kerja lah aku jadi budak penghantar pizza.
Aku diminta hantar pizza ke sebuah tempat, sepertinya tempat lepak budak-budak nakal. Kecut jua hati ini. Sudah hampir maghrib. Helmet tidak kutanggal, tak mahu mereka tahu aku perempuan. Nanti tahu galak pula mereka mengusik.
“Wei, apa ni mana cukup duit kau orang bagi ni?”
Melengking suaraku geram dengan budak-budak nakal ni. Mereka berpaling, salah seorang dari mereka seperti pernah kulihat. Eh, si Joengos.
“Ni awek Lumut lah. Wah sudah hantar pizza sekarang. ”
Adus, naya. Dia ingat lagi rupanya. Tanpa peduli wang yang sepatutnya aku ambil, aku pantas memecut laju motor. Lantak lah duit gaji nak kena potong ke apa ke, janji aku selamat.
Di belakang aku rupanya si Joengos mengikut. Laju dia memecut cuba mengejarku, dan aku lagi hebat memecut, memulas minyak, mencilok sana dan sini mengelak dari si Joengos yang diikuti dua biji motor lagi dibelakangnya.
Alamak traffic light lampu merah pula, dari jauh aku lihat si Joengos tersenyum. Aku melihat depan kembali. Aku merapatkan motor pada Satria di sebelah kiri. Joengos kian mendekat, tanpa peduli malu atau takut, aku mengetuk cermin Satria.
Joengos sudah di tepiku, motornya merapat dan tangannya panjang sahaja cuba menggapaiku, aku semakin galak mengetuk cermin tingkap Satria.
Alhamdulillah syukur pada Allah swt, cermin satria diturunkan tetapi bila melihat wajah yang menyambut mataku. Bibirku terkunci.
Dia! Dia juga tergamam melihatku. Dan pemandu Satria jua menjenguk melihatku. Aufa!
Wajahnya keruh, bertambah keruh bila melihat si Joengos mengusikku.
Aku menendang motor Joengos, Joengos terjatuh dan pada masa yang sama lampu bertukar hijau. Motor ku pecut dan di belakangku kawan Jongos mengekor rapat.
Dan entah dari mana tiba-tiba Satria memotong geng Joengos dan menempatkannya begitu rapat di belakangku sehingga menyukarkan mereka memotongku. Bila Joengos muncul kembali dan cuba menghimpitku, aku berjaya mengelak dan memecut meninggalkannya. Aufa menghimpit Joengos dan Joengos hampir terbabas mengelak Satria.
Dan dari cermin sisi aku lihat Aufa masih mengekorku. Aku menarik nafas lega kerana kelibat geng budak motor nakal itu tak lagi kelihatan.
Aku membelok masuk ke Pizza Hut dan aku terkejut bila laju Satria Aufa membelok masuk dan berhenti di belakang motor. Di belakang mereka, geng si Joengos. Perhatian pengunjung Pizza Hut teralih pada kami.
Apa lagi si Joengos ni nak?
Joengos menghampiriku. Sepantas itu juga Aufa dan Danial menghadang.
Gelap rasa pandangan mata bila aku dihadang dua tubuh tegap ini. Apa kaitan antara dua Aufa ini ya?
Mereka berdua lagaknya seperti pengawal peribadiku. Dan bila Joengos cuba menghampiriku dari sudut lain. Danial menolak aku ke belakangnya berselindung di balik tubuh tegapnya. Begitu rapat di belakangnya sehingga aku boleh menghidu bau haruman yang dipakainya. Rasa begitu selamat dan dilindungi.
Oh hati mengapa harus kau rasa begini setiap kali dengannya, sungguh dia abang terbang yang bisa membuat hatiku terbang melayang-layang.
“Apa kau nak dengan tunang aku?”
Kecut aku mendengar nada suaranya, tegas dan kasar. Pertama kali aku mendengar suaranya keras begini. Padaku dia cukup sabar, sopan dan lembut.
Dia begitu melindungiku. Aufa yang berdiri di sebelahku aku kerling, wajahnya serius dan mata kami bertentangan. Bibirku bergerak ingin bertanya tapi mata Aufa yang tajam membuat aku menelan niatku. Ini bukan masanya.
Aku menjenguk di balik tubuh Danial. Tinggi susah nak nampak depan. Akupun nak tahu apa yang berlaku di antara mereka.
“Sorry wa tak tahu pula pengkid ni tunang lu der. Wa Cuma nak pulang duit pizza dia. Tak gitu dik?”
Aku panas hati dibuatnya dengan Joengos ni, rasanya tadi tak ada pun dia cakap nak pulang duit. Aku hulur tangan dari balik tubuh Danial minta duit dari Joengos tapi tersentak bila tanganku disambar Danial dan digenggamnya erat.
Danial kembangkan tangannya tepat kepada Joengos dan Joengos menghulurkan duit pizza tadi kepada Danial.
“Okay, sekarang dah bagi kan. Blah lah.” Sampuk si Aufa.
Tanpa kata si Joengos berlalu.
“Kau orang kalau aku nampak lagi kacau tunang aku. Aku akan pastikan kau orang takkan mampu nak pulas minyak motor pun.”
Joengos berpaling mendengar amaran Danial, tapi mukanya macam tak kisah sahaja.
Sebaik sahaja si Joengos berlalu, Danial memaling tubuh, aku juga terpaksa mengikut rentaknya. Tanganku masih kukuh dalam genggamannya.
Dia memusingkan tubuhku menghadapnya. Tangan yang digenggam rasa sakit, kasarnya.
“Manja Auliya, look at me.”
Nama penuh aku dipanggil, dia marahkan aku.
Terjeling ke sebelah. Malu aku dibuatnya bila Aufa melihat aku tunduk menikus di hadapan Danial.
“Dah hebat sangat sampai tak kenal jantina sendiri? Tahu pula takut bila kena macam tu?”
Perghhh pedas menikam telinga. Melampau betul abang terbang ni kalau berbicara.
Aku tarik tanganku dari genggamannya. Tapi lagi kuat digenggamnya. Terasa sakit tapi aku cuba tahan. Tidak mahu kalah pada dia.
“Jangan cuba nak lari. Pandang muka abang tak berani, tapi bawa motor cilok sana sini macam jantan berani sangat pula.”
Oh, dia tahu itu aku. Dia kata aku macam jantan? Baguslah, sekurang-kurangnya menjadi perubahanku. Tak sia-sia usaha aku belajar menunggang RXZ, memotong rambut yang kusayang.
“Suka hati saya. Awak sibuk apa? Lepaslah tangan ni, sakit lah, ingat tangan saya ni plastic ke?”
“Oh, ingat dia ni gagah berani. Baru kena acah dengan geng kampung dusun tahu pula kecut perut. Menunduk macam tikus.”
“Lepaslah, mental!!”
Dia masih buat tak peduli aku yang meronta. Makin kuat aku meronta makin kuat dia menggenggam. Malunya aku bila pengunjung restoran dan orang yang lalu lalang memerhatikan kami. Buat drama swasta pula maghrib-maghrib ni.
“Along. Lepaslah manja tu.”
Teguran Aufa melegakan hatiku, sepantas itu juga tanganku dilepaskan Danial. Pertanyaanku terjawab jelaslah mereka berdua ni bersaudara, padanlah muka seiras. Cuma Aufa lebih rendah sedikit dari Danial, dan kulitnya lebih gelap jika dibandingkan dengan Danial.
“Kalau benci sangat pada abang, jangan sampai Manja musnahkan diri sendiri. Jangan ingat abang akan ikutkan kehendak Manja. Never! Ingat awak kerat rambut macam hero korea, bawa RXZ potong abang dah cukup macho ke, sorry der you’ve long way to go.”
Dia masuk ke dalam Satria, meninggalkan aku terpinga-pinga dengan Aufa yang tersenyum sinis.
“Auliya.”
Aku memandangnya.
“Jangan ikutkan hati, binasa nanti diri. Jangan buat orang yang sayangkan awak risaukan awak.”
“Siapa? Along awak?” sinis ayatku.
Teringat pertemuan kami dulu, jelas waktu itu dia sudah tahu aku siapa. Padanlah baik sangat, spy abang dia rupanya.
  “Kadang-kadang kita tak suka perkara tu, tapi ia adalah yang terbaik untuk kita. Cuba terima sesuatu itu dengan hati yang terbuka, bukannya memberontak tak tentu hala. Kadang-kadang ada baiknya sesuatu yang kita tak suka itu.  Allah swt tak pernah menganiaya hambaNYA. Fikirlah Manja Auliya.”
Kata-katanya terkesan kukuh di hatiku. Membuat aku berfikir sendiri. Mungkin benar akukah yang terlalu mengikut kata hati yang muda dan memberontak? Tapi siapa yang sanggup kalau kena paksa untuk terima pertunangan seperti ini dalam usia baru 18 tahun?

***

No comments:

Post a Comment