Tuesday 31 March 2015

Dia, Abang Terbang Ku!!!


Karutan Ke-2

Sebulan berlalu

Excuse me Miss…”
“Opocot mak kau meletup!”
Kotak kasut yang kupegang dan ingin kususun kembali ke rak terjatuh. Malunya aku, macam mana boleh terkejut melatah pula tu. Habis jatuh saham aku.
Pemandangan yang sangat mendebarkan jiwa, memukaukan mata menyambut anak mataku.
“Wow, Tom Welling!” dengan penuh yakinnya aku berbunyi, menyebut nama pelakon Clark Kent versi Smallville pujaan hatiku.
Oh adakah aku berada di syurga? Wajahnya mendamaikan hati. Rasa nak tercabut jantung melihat makhluk Allah yang berdiri dihadapanku ini. Matanya yang coklat, eh hijau eh coklat memandang aku tepat, ceh dia senyum ke gelakkan aku ni?
Dari senyum senget dia sengih menampakkan giginya yang putih bersih tersusun rapi. Aduh sakit kepala aku mendongak memandang mat salih yang tinggi macam pintu rumah ni. Pantas akupun berdiri menghadapnya, pun terpaksa mendongak juga.
Yes, may I help you sir?”
Nasib baik, bahasa Inggeris aku ni boleh lah setakat nak bagi lepas mat salih tersesat. Boleh lah dari tak ada kan.
There’s something onyour hair.”
Aku sempat mengelak dari tangan si ‘Tom Welling’ ini menyentuh rambutku. Tangan kami berlaga dan bersentuhan, tapi pantas aku tepis. Amboiii suka-suka hati nak pegang anak dara orang. Kena jaga-jaga dengan Mat Salih ni. Langkah kuundurkan setapak, dua tapak dan dia buat muka selamba sahaja.
“Kurang adab.” Mulut ku berdesir halus, geram dengan orang yang langsung tak tahu nak jaga adab begini.
Sudahlah datang ke tempat orang, tapi tak reti nak menghormati adab dan budaya masyarakat tempat itu. Dia sepertinya mendengar kata-kataku, ah lantaklah bukan dia faham pun.
Oh God! Danial. Is that you my gorgeous hero?”
Bos aku, yang kupanggil Miss Kate, meluru ke arah ‘Tom Welling’, memeluk lelaki itu. Membuatkan aku terkedu dan terundur ke belakang. Lelaki yang dia panggil Danial ini mengangkat Miss Kate dan memusingnya. Mereka kelihatan bahagia sekali. Berpusing berdua macam patung dalam kotak muzik.
Sama cantik sama padan, tapi sayang tak reti nak tengok tempat dan keadaan ke nak melepas rindu dendam. Takkan tak nampak aku yang tercongok kat sini?
“Angin lautan pasifik tidak langsung mengganggumu ya. Masih sama seperti dahulu.”
Eh, telinga aku ni salah dengar ke Miss Kate cakap bahasa Melayu dengan mat Salih ni?
Danial berbisik sesuatu ke telinga Miss Kate. Berbulu betul aku tengok gelagat manusia berdua ni. Tangan Danial melingkari pinggang Miss Kate. Miss Kate ni pun satu kalau dah tak takut pada dosa, fikir-fikirkan lah aku yang sakit mata tengok kelakuan mereka. Tahu lah awak tu keturunan mat salih tapi janganlah perangai tu nak terlalu ‘mat salih’ dari ‘mat salih original’.
Malas nak layan dan tengok, aku kembali semula menyusun kotak-kotak kasut. Sesekali aku perasan mata coklat kehijauan itu melihatku, tapi aku buat tak peduli. Suara mereka berbual lebih kepada berbisik dan ketawa Miss Kate melatari suasana.
Nama penuhku dipanggil, memang tak suka bila orang memanggilku dengan nama penuh. Kombinasi nama dari dua orang yang paling kusayangi, arwah Baba dan Tok Aki. Manja dari Tok Aki dan Auliya dari Baba. Bila digabungkan menjadi Manja Auliya.
Nama Manja itu kedengarannya macam mengada-ngada dan pampered. Kerana itu aku lebih suka kalau orang memanggilku Auliya. Hanya Auliya tanpa menyebut Manja. Hanya keluarga sahaja aku izinkan memanggilku dengan nama Manja. Orang lain harap maaf tak kisah lah rapat mana sekalipun.
“Auliya, kenalkan abang sulung saya, Danial Liams.”
Abang sulung dia? Ya Allah berdosanya aku kutuk mereka macam-macam tadi. Katerina Liams, Danial Liams. Urm, padanlah.
Mata itu memandangku tepat, aduh boleh bergegar pintu hati aku ini bila dia renung macam ni. Oh tolong tolong janganlah aku pitam kena panah mata abang Miss Kate.
“Assalammualaikum Manja. Saya Aufa Danial Liams, malangnya bukan Tom Welling kan.”
Salam yang diucapkan pada aku jelas bukti dia seorang muslim dan dia abang Miss Kate. Oh mati aku, Tom Welling di hadapanku ini pandai speaking Melayu.
Sudah pasti dia juga faham aku kata dia tak beradab. Oh Tuhan memang minta nyawa. Tolonglah alihkan mata awak yang berbisa tu dari saya. Eh, sekejap apa nama dia tadi Aufa Danial? Aufa? Eh nama Aufa juga, macam nama bakal tunang aku yang tak jadi. Urmmm…
“Waalaikummussalam.”
Dia masih memandangku dengan senyuman yang misteri. Oh Tuhan…aku rasa nak luruh segala tulang temulang. Selama 18 tahun aku hidup inilah kali pertama aku merasai begini.
By the way Auliya, atas rambut awak ada bulu ayam.” Miss Kate menegurku.
Danial memandangku penuh makna. Dia boleh kenyit mata pula. Aih nasib baik dah besar sikit kalau tak ada yang kena lastik matanya. Seperti mana kecil-kecil dahulu, kalau tak puas hati pasti aku tembak dengan lastik ku.
Bertambah-tambah malu rasanya. Aduh, mana nak letak muka ni. Rasa nak nyorok dalam kotak kasut. Oh Tuhan…


***

No comments:

Post a Comment