Monday 10 November 2014

Kerja Tuhan Catatan 9 dan 10



Catatan 9
Aku berdoa setulus hatiku. Inilah kali pertama sejak sekian lama aku sujud mengucup tikar sejadah, menyembah dan bersujud memohon keampuanan Allah swt. Sayu takut memikirkan dosa yang menggunung. Mampukah aku menanggungnya di akhirat nanti?
Mampukah aku mencium bau syurga? Mampukah aku meniti titian sirat sedang aku tidak menjaga auratku, tidak menjaga solatku, amalku. Oh Allah.
 http://hasnulhadiahmad.com/wp-content/uploads/2013/03/Surah-Al-Ikhlas-Bergambar.jpg
Katakanlah: Dia Allah yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepadaNYA segala sesuatu. Dia tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan DIA. (Surah Al-Ikhlas)

Syukur aku masih mampu mengenal huruf walaupun sudah lama tidak kusentuh kitab Allah ini. Bukti keagungan dan kebesaran Allah swt, harta tinggalan Rasulullah saw buat umatnya.
Sesungguhnya aku bertaubat dari dosa-dosaku ini. Aku tidak mahu lagi menjadi munafik, menipu dan memungkiri janjiku padaMu Ya Allah.
Puas sudah mengusung dendam yang tak berkesudahan. Aku mahu kembali pada fitrahku sebagai seorang perempuan . Kembali menjadi seperti aku sebelumnya. Aku yang telah lama aku tinggalkan sejak Ayah mula mengabaikan aku.
Selendang putih pemberian Adrian kuambil kusarung ke kepala. Adrian dihadirkan Allah sebagai pendorong penyedar untukku berubah. Masih terngiang di telinga alunan zikir munajat yang Adrian lagukan sewaktu menelefonku dulu. Saat itu hati ini sudah tersentuh.

Kemalangan ngeri yang aku alami sebulan lalu dengan Jeremy cukup menakutkan menginsafkan aku. Hidup ini satu nikmat yang bila-bila masa sahaja boleh Allah tarik begitu sahaja. Tidak kira kau tua atau muda. Jelas terbayang mayat anak kecil itu dulu.
Kemalangan itu menyebabkan aku patah tangan dan kaki kiriku. Sehingga hari ini kakiku masih berbalut dan aku ke sana ke sini dengan tongkat. Selain daripada itu aku amat bersyukur masih bernyawa.
Syukur Allah masih memberiku peluang kedua untuk menebus dosaku. Peluang kedua untuk aku lebih dekat dengan Allah swt dan peluang untuk aku meraih kembali kasih sayang Ayah.
Sejak aku kemalangan, ayah mulai berubah. Dia mulai ambil berat dan peduli prihatin dengan diri anaknya ini. Alhamdulillah. Syukur pada Allah swt.
***
Catatan 10

Dia ingin membantu memimpin tanganku, pantas aku tepis.
“Aku boleh jalan lagi kot. Tongkat ni ada.”
“Maaflah Amira. Tapi aku memang tak boleh.”
Dia masih berdegil, dan aku malas nak bertekak lagi. Hanya membiarkan dia membantu aku berjalan. Sambil berjalan mulutnya riuh bercerita itu dan ini, dan aku hanya mendengar. Walhal satu apapun aku tak minat, tapi aku memang suka cara dia bercakap. Pandai berkata-kata.
“Amira, ayah kau ada kat rumah ke?”
“Kenapa takut ke? Sorry kalau dia adapun aku takkan ajak kau masuk.”
“Aku tak takut untuk masuk. Aku pun tak ada kata aku nak masuk. Aku akan masuk juga nanti, bila aku sah jadi milik kau Amira.”
“Gila!”
Tak mungkin. Ada hati mamat ni nak jadikan hak aku yang sah kunun, berani buat lah kalau nak merasa tendangan maut high class dari Amira.
“Aku memang gila, gilakan kau sayang.”
Menggeleng kepalaku mendengar si gila ini. Mulut kalau bercakap nak manis macam madu sahaja. Rambut yang ditiup angin kuusap ke belakang. Sedap sahaja rasanya mata ni bila ditiup angin begini.
“Cantik!”
Sekilas wajah Adrian kupandang. Cantik dia tu merujuk kepada apa? Akukah?
“Cantiknya awak bila rambut dah panjang begitu… tapi mesti lagi manis kalau terselindung kemas di balik selendang kan…”
Aku terdiam, ceh dalam memuji sempat menegur…mendalam tertusuk hatiku. Ya lah… aku tahu bukannya tak tahu. Cuma tak siap untuk melakukannya lagi. Aku tahu dia tahu aku terasa dengan kata-katanya, tapi dia buat seolah tiada apa. Selamba sahaja dia buat muka toya. Dia merenung langit, kemudian melihat jam.
“Dah kenapa? Nak balik baliklah, tak ada orang larang aihh.”
“Sampainya hati… tak sayang saya ke? Sanggup biarkan kesayangan awak ni mati kehausan?”
Aku muncungkan bibir, malas nak layan.
Mak Mah tiba tepat pada masanya. Mak Mah memang rajin memasak makanan kegemaran aku dan Ayah. Kebetulan hari ini Ayah memintanya membuat kuih keria. Memang rezeki Adrian hari ini.
“Mak Cik, tak makan sekali?”
“Tak apa. Mak Mah dah makan tadi. Adrian makanlah dengan Amira. Habiskan tau!”
Kami Cuma mengangguk dan aku senang memerhatikan Adrian makan. Kenapa ya setiap kali melihat Adrian aku merasakan perasaan ini. Perasaan halus yang mengatakan aku begitu mengenalinya, kami begitu rapat. Seolah aku mampu berkongsi segala-galanya dengan lelaki ini.
Apakah sebenarnya perasaan ini. Apakah ia cinta? Tapi aku terlalu muda, begitu juga dia.
“Adrian, sedap kan? Aku tahu ni kuih favourite kau kan, makanlah.”
Dia mengangguk. Senyum lagi. Senang aku melihat dia makan kegemaran Ayah. Ternyata dia dan ayah punya makanan kegemaran yang sama.
“Mesti lagi sedap kalau Cik Amira kita masak kan?”
Dia ni sindir aku ke apa? Tahulah aku ni kasar, manalah aku tahu buat kerja-kerja kreatif berseni macam memasak itu. Haihhh.
“Kalau kau nak tengok dapur terbakar, boleh saja aku memasak.”
Dia ketawa senang hati. Dan aku tarik muncung.
“Amira… tahu kan pasal malam amal sekolah?”
“Tahu. Tapi apa kaitan dengan kita?”
Dia senyum pula. Aku angkat kening, hairan.
“Senyum pula? Meroyan ke? Asyik gelak asyik senyum.”
“Nampak sangat ke? Tak ada aku suka bila kau sebut ‘kita’. Tak tahu lah bila dengan engkau seorang saja aku jadi begini.”
Sudah…. Jangan cakap dia ni angau kat aku. Haiihh perasan sahaja kau ni Amira. Tapi kalau betul apa akan jadi ya?
“Dah habis?”
Sorry… tunggu sekejap.”
Aku lihat sahaja dia bangun dan berlari anak ke skuternya dan kembali semula dengan… gitar? Gitar? Jangan cakap dia nak buat persembahan dekat sini. Aku memang tahu dia salah seorang daripada peserta yang ambil bahagian.
Tapi dah kenapa nak buat persembahan kat sini pula?
“Tunggu. Ni kau nak buat apa ni?”
Rileks, Mir. It’s just a song.
“Kalau runtuh langit nanti macam mana. We’ll never know right?”
Dia buat selamba. Buat tak dengar usikanku. Aku perhatikan jarinya yang memetik tali gitar. Aku paling cemburu pada orang yang pandai bermain alat music terutamanya gitar. Jeremy pernah memainkan gitar untuk aku, dan aku memang cemburu padanya. Ini Adrian pula. Alahai cair…
“Erm. Mic test…1,2,3… This one is for you…my heart’s keeper.”
Matanya tepat memandang mataku. Mata kami saling bertentangan. Gementar hatiku bila mendengar ayatnya. Bersungguhkah dia.


Tidak salah rasanya,
Andai kumemuja,
Anggun di wajahmu
Kerna hati ini telah tertawan,
Cinta tak kenal siapa,
Hadir tanpa dipaksa,
Walau berkecai badan melepaskanmu,
Aku rela berputih tulang,
Yang tak sanggup aku lihat
Engkau dipimpin oleh insan lain
Dan tak sanggup aku dengar tentang keburukanmu,
Hendakku hampirimu untukku luahkan semuanya,
Sayangnya lidahku kelu,
Apa lagi yang harus kuperbuat,
Agar kau mengerti maksud tersirat,
Maka terpaksalah aku melepaskan,
Apa yang telah tersimpan sekian lama,
Aku cintakanmu, aku perlukanmu.
Untuk mengisi ruang kekosongan.
Terpesona aku mendengar suaranya mendendangkan kembali lagu Aris Ariwatan. Sungguh Cinta itu memang tidak mengenal sesiapa. Adrian, kamu jangan cuba bermain dengan perasaanku. Jangan kacau jiwaku. Kau buat aku sasau.
“Amira menung apa sampai tak perasan aku panggil?”
“Oh dah habis nyanyi ke? Syukur tak hujan kan.”
“Cuacapun tahu suara aku sedap. So comment for me please.”
“Okay saja.”
“Okay saja? Takkan tak terdetik nak tanya apa-apa?”
“Tanya apa?”
Muka dia berubah, jelas kecewa. Apa yang dia harapkan sebenarnya. Nak aku cakap wahhhh sedapnya suara anda, anda buat saya terpegun dan terjatuh cinta.
“Kau ni betullah kayu, Amira!”
Terkejut aku bila tiba-tiba dia angkat gitar, kufikir dia nak ketuk aku dengan gitar tu. Oh dia kata aku kayu. Aku fikir aku ni batu, keras kukuh dan teguh dengan apa yang kumahu dalam hidupku ini.
“Kayu ea? Aku ingat selama ni aku ni batu, kukuh dan kuat tak macam kayu cepat reput.”
“Jangan nak bangga sangat Amira, nanti aku datang pecahkan batu tu dengan tukul, lama-lama hancur juga, siap boleh buat batu cincin lagi.”
Aku diam, malas nak layan. Aku habiskan mengunyah kuih keria di tangan.
“Aku nyanyi lagu tadi khas untuk kau Amira.”
“Huh, buat apa?”
“Sebab aku tak pernah rasa macam ni pada orang lain. Sebab aku sayangkan kau Amira Johari.”
Terlepas gelas yang baru nak kuhirup airnya. Bagai kilat, Adrian sempat menyambutnya. Mujur kalau tidak pasti pecah berderai di lantai simen.
“Minumlah air ni. Hilangkan rasa terkejut tu. Naya pula aku nanti kalau kamu kena sakit jantung.”
Aku hanya menyambut gelas itu kembali, tanpa berkata apa-apa. Melihat sendiri tanganku yang menggeletar memegang gelas kaca itu, meneguknya pantas.
Sambil minum mataku mengawasinya. Dia memandangku penuh perhatian. Siap tongkat dagu lagi. Apa maksud dia dengan kata-kata dia tadi? Ikhlas dari hati atau niat hanya untuk mengenakan aku?
“Dah okay Amira?”
Gelas aku letak kasar ke atas meja. Menyandar ke kerusi dan menggenggam tangan yang masih terasa menggeletar. Terkejut. Tak pernah seumur hidup mendengar pengakuan sebegini. Dia ni apa niat sebenar dia ya?
“Tak percayakan aku?”
Aku masih diam, berfikir. Sengaja memandang ke lain bila dia cuba menatap wajahku, mencari jawapan.
“Aku yakin satu hari nanti kau akan tahu, aku akan buktikannya. Dan kau akan percaya.”
Aku mengeluh dalam. Aku akui memang susah nak percaya. Takkanlah lelaki macam dia ni, diminati ramai perempuan, dengan rupa yang A class, boleh ada hati pada aku. Aku yang kasar, aku yang cengih, ini? Susah  nak percaya.
Mungkinkah dia ni ada masalah atau terdesak sangat nak ubah aku jadi perempuan baik sampai dia mengaku begini?
“Kau okay ke Adrian?”
Bulat matanya memandangku. Seakan tak percaya dengan apa yang keluar dari mulut ku agaknya. Sudah itu yang aku rasa, itulah yang aku cakap.
“Kau ni kan Amira… Bukan sahaja kayu, batu, tapi tiang elektrik.”
“Dah tahu kenapa still melekat lagi dengan aku? Kenapa tak lari jauh-jauh? Tak takut dipanggil gila bercakap dengan tiang elektrik macam aku ni?”
“Sebab aku sayang kat kau.”
Aku terdiam, terpaku, terkedu, tergamam. Kali kedua dia mengungkap yang dia sayangkan aku. Nampaknya dia serius. Tak sangka dia ni sayangkan aku. Tapi sayang sebagai apa?
“Aku berani sumpah aku tak ada niat nak kenakan kau. Ini aku cakap ikhlas dari hati aku. Aku sayangkan kau. Kau ingat senang ke aku nak cakap luahkan macam ni pada kau.”
Aku diam membatu, dan hanya membiarkan pengakuan ini, namun aku akui hati berbunga-bunga meletup-letup mendengar pengakuannya. Matanya kelihatan jujur, kata-katanya begitu meyakinkan yang dia ikhlas dan jujur. Tapi benarkah?
***

No comments:

Post a Comment