Tuesday 17 September 2013



Jodoh itu rahsia Allah. Dan sebagai hambaNYA aku hanya mampu berdoa, berharap dan menanti. Kerna DIA lebih tahu. – Aufa & Orkid
***
Kamera bagi dirinya ibarat tongkat sakti Harry Potter. Pling Pling Pling! Senjata bagi dirinya, teman sejati saat susah dan senang buat seorang jurugambar seperti dirinya.
Hari ini seperti kebiasaan rutin kehidupan OP atau official photographer, dia cuba sehabis baik dan sesempurna mungkin untuk mengabadikan kenangan hari bahagia pelanggannya. Kepuasan pelanggan adalah segala-galanya.
Senyuman terukir di bibir melihat peluh didahi pengantin lelaki yang segak dengan persalinan baju melayu putih satin bersamping. Boleh pula berpeluh dalam ruangan yang sejuk dek penghawa dingin. Momen ini tidak lepas dari dirakam Nikon D600 nya.
Tiba masa untuk upacara membatalkan air sembahyang selepas selesai akad nikah.
Jantungnya bagai berhenti berdetak bila pengantin perempuan mengangkat wajah. Jari telunjuk yang menekan butang Nikon bagai tak terasa.
Nafasnya bagai diambil, terpesona dengan kecantikan pengantin perempuan ini. SubhanAllah indahnya wajah ini, tapi air mata membasahi matanya, menyebabkan wajahnya memerah. Hidungnya merah. Sangat cantik.
Tapi mengapa menangis? Bukankah ini hari bahagianya. Ah, paling mungkin terlalu gembira. Susah untuk dia menafsirkan makna di sebalik air mata itu.
Dan bila mata pengantin perempuan yang bernama Orkid Hanani itu memandang tepat ke lensa kameranya, mata mereka bagaikan bersatu lama. Dari matanya disebalik lensa kamera tepat ke anak mata Orkid Hanani.
Oh Tuhan. Ini adalah kali pertama dia merasai perasaan aneh ini. Perasaan halus yang sukar ditafsir.
“Danial, jom ambil shot Nazim solat sunat nikah.”
Tepukan di bahu mematikan segala rasa yang membara dalam jiwa. Pantas kepalanya digeleng. Tidak mungkin! Tidak mungkin dia boleh jatuh cinta dengan pengantin perempuan. Isteri orang tu! Baru nikah pula tu! Parah, parah!
Pantas dia bangun mengikut langkah sahabatnya, Ammar memasuki sebuah bilik di sudut kiri untuk merakam gambar pengantin lelaki, Nazim yang juga kawan kepada Ammar. Kawan baik katanya.
***
“Terima kasih kerana berikan kami service terbaik! Really appreciate it, guys!”
“Kepuasan pelanggan kepuasan kami. We’re just doing our job. Lagipun kau kan kawan aku, harus lah aku beri special service.”
“Aku dengan Orkid memang puas hati dengan gambar-gambar ini. Lain kali boleh panggil lagi Aufa’s Capture shot gambar.”
Danial hanya senyum mendengar pujian Nazim. Sesekali matanya nakal mencuri pandang isteri Nazim, Orkid yang sedang berdiri menghadap pemandangan sebuah rumah kayu di atas bukit. Laut di hadapannya. Gambar pertama diambilnya dengan kamera DSLR pertama yang dimilikinya enam tahun lalu. Dia suka melihat Orkid menatap hasil kerjanya menimbulkan perasaan halus itu kembali.
Jujur dia boleh gila kalau lama-lama begini. Gila berharap bahawa Orkid Hanani yang manis itu miliknya. Pantas dia beristifar membuang segala fikiran jahat dari minda.Pandangan mata mereka bertemu dan pantas dia mengalih pandangan. Oh hati, janganlah kau buat gila!
***
Perkahwinan yang dibina tidakpun sampai usia sebulan. Namun Nazim sudahpun merasai perkahwinan ini adalah satu kesilapan. Kalau diberi waktu, dia tidak mahu meneruskan kesilapan ini.
Nazim memandang Orkid, isteri yang dikahwini. Isteri yang begitu baik, begitu patuh, isteri yang tidak pernah disentuhnya.
Dia tahu mereka berkahwin tanpa cinta, dan dia rasa sangat berdosa kerana menyeksa gadis sebaik Orkid Hanani. Tapi jujur saat pertama mereka bertemu, dia ingin memiliki gadis manis ini. Kehendaknya memang begitu sejak kecil, apa yang dia mahu harus dia miliki.
Dan terus sahaja dia bersetuju dengan pilihan orang tuanya itu.
Tapi setelah memiliki Orkid, dia sesal. Sesal kerana merampas kehidupan Orkid, Orkid sendiri mengakui tidak mencintainya tetapi akan cuba sedaya mungkin untuk cuba membahagiakannya. Dan Orkid tidak gagal.
Sesal kerana mengecewakan Nabila yang setia disisi yang begitu mencintai dan dicintainya.
Dia kusut sendiri, tidak memahami diri. Orkid halal baginya, Orkid begitu sempurna tapi Nabila yang dirindui, Nabila yang didamba siang dan malam. Tambahan Nabila begitu setia, sehingga sanggup menawar diri menjadi yang kedua atau apa sahaja nombor janji dapat bersatu dengannya.
***
Tangan cuba menggapai novel di rak, berbulan rasanya dia cuba mencari novel ini. Dan ini novel yang terakhir. Hanya tinggal satu kata jurujual di MPH ini.
Namun ada tangan lebih pantas menyambar ‘My Precious Iris’ sebelumnya membuat Orkid mengeluh hampa. Melepas lagilah dia nak memiliki karya sequel Melur Jelita itu. Dan pandangan mereka bersatu. Lama.
Wajah lelaki yang pernah mendebarkan rasa. Mata yang jantungnya bagaikan terhenti di malam akad nikahnya. Namun pantas Orkid menundukkan pandangan. Haram melihat lelaki lain selain Nazim. Ingat awak sudah bersuami!
“Orkid Hanani!”
Orkid tersentak. Lelaki ini masih ingat namanya. Senyum menghiasi wajah lelaki ini membuatkan dia juga senyum. Senyum itu sedekah tidak salah andai memberikan senyuman.
“Danial.” Perlahan nama itu disebut, cukup membuat Danial resah.
“Maaf kalau saya ambil ini. Awak nak ke? Kalau awak nak ambillah.”
Danial lihat mata Orkid bercahaya girang.
“Pasti ke? Ini buku last, tak ada lain dah. Nanti susah awak nak cari lagi.”
Danial mengangguk mengiakan. Tangan menghulur buku dan perlahan Orkid menyambut. Danial senang melihat wajah Orkid yang ceria. Senyumannya membuat dunia ini terasa
“Terima kasih. Tak tahu nak cakap macam mana, terima kasih.”
Kasihmu diterima. Danial berbisik nakal dalam hati.
Dan sekali lagi Orkid mengucap perkataan kasih itu bila Danial membayar harga novel itu. Novel yang sama yang diminta oleh adiknya Husna supaya dibelikan berbulan lamanya.
Alamat memang kenalah dengan Husna kalau balik nanti, tangan kosong tanpa permintaannya. Siap sedia saja tadah telinga dengar rengekan si bongsu itu nanti.
Huh, kau memang sudah gila angaukan isteri orang Danial. Bertaubat minta disimpang jauh dari neraka. Oh Tuhan tapi dia memang manis.
Dia menangis aku suka, dia termenung aku suka, dia senyum juga aku suka.aku harap dia bahagia. Nazim better make Orkid happy, or else… DSLR yang beribu-ribu itupun selamba aku sanggup hentak ke kepala mamat yang berani menyakitkan jiwa raga si manis ini.
***
Air mata menitis setitik setitik ke pipi. Orkid benci dengan nasibnya.
Walau hidupnya mewah, katakan sahaja kemahuan semua akan dipenuhi Nazim. Nazim menaburkan kemewahan sebagai lambang kasih sayangnya. Tidak pernah kurang wang ringgit, pakaian dan harta benda hadiah untuknya.
Tapi jiwanya mati. Nazim tidak membelainya dengan sentuhan kasih sayang, Nazim tidak pernah melafazkan cinta dari pandangan mata, kata-kata mahupun kelakuan. Dia hanya ibarat patung di dalam banglo mewah ini.
Dia sepi, walau dimiliki tapi tidak dicintai. Jiwanya merana. Hatinya tersayat dengan perbuatan Nazim. Walau fizikalnya tidak dikasari tapi layanan Nazim padanya ibarat menyiat-nyiat hatinya berkeping-keping dibakar rentung.
Dia bukan bodoh, untuk Nazim perbodohkan dan pergunakan begini. Di hadapan keluarga bukan main lagi menunjuk kasih sayang, Cuma lakonan.
“Kurang kah saya di mata abang? Jijikkah abang pada saya?”
Nazim terhenti di muka pintu bilik. Wajah Orkid yang menghantarnya ke muka pintu dipandang. Tiada sayang tapi tak tahu mengapa susah untuk dia melepaskan. Orkid ibarat koleksi peribadi yang tak ternilai dan terlalu sempurna. Sempurna. Dan Nabila. Nabila begitu menggoda, manja dan setia.
“Kenapa buat saya macam ni. Dah setahun kita kahwin tapi abang tak pernah nak sentuh saya, tak pernah nak anggap saya ni ada perasaan. Abang jangan ingat harta benda wang yang abang taburkan tu cukup buat tutup semuanya. Saya tak sanggup hidup macam ni.”
“Maafkan saya Orkid. Saya tak dapat nak paksa diri untuk mencintai awak. Saya… saya mencintai orang lain. Sejak dulu lagi.”
“Dah tu kenapa setuju dengan perkahwinan ini. Kenapa nak seksa diri sendiri? Nak seksa hidup saya? Kenapa setuju dengan cadangan orang tua kita sedangkan dari awal awak dah boleh menolak.” Hilang gelaran abang dari bibir Orkid, merasa marah dan dikhianati.
Nazim duduk di katil, bersebelahan Orkid. Cuba mencari ketenangan, sudah sampai masanya Orkid tahu hal sebenar.
“Saya tak boleh lepaskan peluang untuk memiliki awak Orkid. You took my breath away. Tapi saya juga tak boleh lupakan dia. She’s everything to me.”
I took your breath away but she’s got your love and everything. Baguslah tu then go to her.”
“Tapi saya tak sanggup kehilangan awak.”
“Lupakan dia. Kita sama-sama cuba untuk bahagia.”
“Tak boleh. She’s my wife now, Orkid dan dia mengandung, tak mungkin untuk tinggalkan dia...”
Orkid benar merasa terhina. Setahun lamanya dia cuba memupuk hati supaya menerima perkahwinan ini. Setahun dia setia pada Nazim, mengabdikan diri pada lelaki ini. Sedangkan hakikatnya dia diperbodohkan, dibuat seperti patung mainan dihujung jari Nazim.
Dia tidak mahu jadi begini. Apa guna mempertahankan perkahwinan ini. Ada suami tetapi ibarat tak ada suami. Walau gelaran janda itu paling dibenci, tapi lebih baik dari hidup macam lakonan soap opera ini.
“Orkid, look!. Dia isteri saya dan awak juga isteri saya. Saya tak boleh kehilangan salah satu dari kamu. Kita akan bahagia, please don’t make me choose between the two of you. I just can’t.”
“Awak tak perlu buat pilihan, Nazim. Saya akan berundur. Ceraikan saya.”
***
“Abang Aufa, Husna minta tolong sekali ini sahaja. Orkid kawan Husna. Husna tak sanggup tengok kawan Husna macam ni. Dia ada Husna sahaja di Kuala Lumpur ini.”
Orkid memandang Danial atau Aufa Danial dan Husna berbual di balkoni. Tidak menyangka sama sekali Danial adalah abang kepada Husna. Husna satu-satunya kawan yang dia punya di Kuala Lumpur ini. Mereka berkenalan lima bulan yang lalu, sejak itu mereka rapat. Dan Husna tempatnya mengadu susah dan senang.
“Dia isteri orang Husna. Tempat dia disisi suaminya. ”
“Suami yang buat dia macam patung kencana? Suami yang curang? Husna takkan biarkan kawan baik Husna kembali kepada lelaki begitu.”
“Husna, itu hal rumah tangga mereka. Biar mereka selesaikan dengan cara yang baik.Kita orang luar tak sepatutnya masuk campur. Abang tak nak dengar lagi semua ini. Kita akan hantar dia pulang.”
Sepanjang perjalanan ke rumah Nazim, hati dan akal Aufa Danial berperang antara kehendak hati dan kewarasan akal. Ikut hatinya dia tidak mahu menghantar Orkid kembali kepada lelaki tak guna itu. Dia mahu memujuk Orkid, menyapu segala kesedihan jauh dari mata gadis kesayangannya ini. Sehingga senyuman kembali terukir. Mahu membawa Orkid ke dalam pelukannya, menjadikan dua hati jadi satu.
Arghhhh, aku sudah gila mencintai hak orang yang haram bagiku.
Nazim lelaki tak guna, tapi Danial tidak punya hak. Nazim Datuk Razak masih suami Orkid Hanani yang sah.
Sampai sahaja di pintu pagar banglo Nazim. Aufa Danial keluar diikuti Orkid. Husna sedang berbual di telefon dalam kereta.
Nazim muncul, wajahnya baran. Pintu pagar dibuka dan belum sempat Danial berkata apa, penumbuk Nazim melayang ke mukanya dan Orkid diheret Nazim masuk ke dalam. Orkid berusaha melawan dan menjerit meminta Nazim melepaskannya.
“Perempuan jalang kau tinggalkan aku untuk lelaki lain ya!”
Danial sempat menarik tangan Orkid dan melayangkan tubuh orkid ke belakangnya. Melindungi Orkid dari Nazim.
“Lelaki tak guna! Itu isteri aku yang kau pegang. Isteri aku, Damnit!”
Nazim layangkan penumbuk, Danial mengelak. Dengan sebelah tangan memegang erat Orkid di belakang. Danial melayangkan penumbuk tepat ke muka Nazim, tidak sempat dielak dan Nazim jatuh ke tanah.
Jeritan halus wanita kedengaran dari dalam dan seorang wanita mengandung keluar dari banglo. Melihat itu, hati Orkid hancur luluh lebur. Pasti itu Nabila. Belumpun sampai 24 jam dia keluar dari banglo mereka, Nazim sudahpun membawa Nabila ke sini.
Dia akui dia memang tidak mencintai Nazim. Tapi perlakuan Nazim menghinanya, menghina maruah dirinya sebagai isteri.
Danial ingin mengajar Nazim lagi tapi melihat Nabila dan air mata Orkid dan arah mata Orkid yang tepat memandang Nabila, membuat tangannya yang menggempal penumbuk jatuh ke sisi.
“Hanya satu permintaan saya Nazim. Tolong lepaskan saya. Saya dah cukup rasa terhina. Demi Allah, tolong ceraikan saya.” Orkid tenang bersuara, tepat memandang muka Nazim yang sudahpun dalam pelukan Nabila.
Nazim mengejar dan lengan Orkid ditarik.
Please, Orkid. I can’t afford to lose you! Don’t leave me.” Orkid menarik kembali lengannya dari cengkaman Nazim.
“Saya bukannya trofi untuk awak miliki, untuk awak tayang yang awak tak sanggup kehilangan. Awak ada Nabila, dia mengandungkan anak awak. Saya yakin kamu berdua akan bahagia. Dan saya minta tolong kali terakhir lepaskan saya. Lepaskan saya.”
“Lepaskan kau supaya kau boleh kembali pada jantan tak guna itu. Never.”
Kali ini Husna tidak lagi sanggup melihat bila telunjuk Nazim tepat ke muka abangnya.
“Hei lelaki tak guna! Kau yang curang kau salahkan kawan aku pula! Cermin muka kau sikit! Anak orang kaya belajar tinggi-tinggi tapi perangai nauzubillah.”
Nazim pantas ingin menampar mulut berbisa itu, tapi tangannya direntap Danial dan Danial menolaknya jauh dari mereka.
“Sekali lagi aku lihat kau cuba mengasari perempuan, aku akan pastikan kau menyesal dilahirkan sebagai lelaki. Aku menyesal kerana bawa Orkid ke sini, Kau memang lelaki tapi lelaki tak guna.”
Bersama kata-kata amaran itu, Danial menyuruh Husna membawa Orkid masuk ke dalam kereta dan meninggalkan banglo mewah Nazim.
Air mata Orkid yang menitis sepanjang perjalanan membuat Aufa Danial berjanji yang dia tak akan membuatkan air mata itu menitis lagi. Aku akan bahagiakan kau gadisku. Oh Allah, hambaMu ini begitu mencintai menyayangi bunga orkid ini, tapi dia di tangan orang. Dan aku hanya mampu memandang melihat. Oh Orkid ku. Lensa Nikon ku mampu menangkap mu, tapi sayangnya tanganku terikat, tergari. Kau masih milik Nazim yang sah.
***
Malam ini seperti kebiasaannya, selesai sesi photoshoot , Danial dengan bantuan Husna dan Orkid mengemas kembali studio Aufa’s Capture. Props penggambaran disimpan kembali ke tempat asal. Sesekali mata Danial nakal mencuri pandang Orkid.
Orkid pura-pura tidak perasan Aufa Danial yang memandangnya. Dia senang dengan Danial dan Husna. Mereka adalah kawan terbaik yang pernah dia miliki.
Dia tahu apa di hati Danial untuknya. Dia bukan bodoh untuk memahami, lelaki itu peduli padanya, lelaki itu sayang padanya. Dia juga begitu, sejak kali pertama mereka bertemu di malam pernikahannya hatinya telah terpaut. Aufa Danial lelaki pertama yang membuat dia rasa begitu.
Tapi malangnya saat itu, dia sudah dimiliki. Akur dengan ketentuan jodoh, dia cuba mencipta bahagia. Tapi bahagia bukan miliknya dan Nazim. Dia sudah bebas kini, siap gelaran janda lagi.
Walau tahu peluang kini sudah terbentang luas untuk dia dan Aufa Danial. Tapi hatinya masih takut untuk berkahwin lagi, takut dengan perkahwinan yang mungkin akan terjadi seperti perkahwinan pertamanya. Walau begitu dia akui dia menyayangi Aufa Danial.
Mata Danial mengekor kelibat Orkid sehingga gadis kesayangannya itu ghaib di balik pintu studio.
“Please lah Abang Aufa, jaga sikit mata tu. Macam nak telan Orkid je Husna tengok.”
Danial hanya ketawa. Namun ketawa dua beradik itu mati bila terdengar suara Orkid menjerit dari luar studio. Pantas mereka berdua lari ke arah suara Orkid, dari arah lobi. Di situ berhampiran tangga Orkid sedang bergelut dengan Nazim.
Kamera DSLR Nikon D600 yang masih dilengkapi lensa dan external flash di tangan laju sahaja Danial lempar tepat ke kepala Nazim yang sedang cuba memeluk Orkid. Kamera terdampar ke permaidani di tepi tangga dan berkecai.
Tangan Nazim yang melingkari pinggang Orkid terlepas dan dia rebah melutut ke bucu tangga. Semuanya berlaku terlalu pantas. Tanpa sempat dia melakukan apa-apa, Danial melihat Orkid bagaikan melayang jatuh ke belakang, ke tangga dan terguling ke bawah.
“ORKID!!!!”
Danial memangku Orkid. Tangan menyapu darah di tepi bibir gadis kesayangannya ini.
“Husna call ambulans now!”
“Aufa…”
Orkid menggapai tangan cuba menyentuh wajah Danial, tapi tangannya hanya mampu menyentuh bibir yang tidak henti memanggil namanya itu. Tangannya pantas digenggam oleh Danial dan Danial membawanya ke dadanya.
“Orkid, tolong tolong jangan pergi. Saya mencintai awak, saya nak menjadikan awak yang sah untuk saya… saya nak awak menjadi pengantin saya, saya nak hidup sehingga ke akhirat dengan awak. Orkid, please…please. ”
Tapi mata kesayangannya itu sudah terpejam rapat, dan dia sudah mengongoi menangis memeluk kesayangannya. Kesayangan yang tak pernah mampu dimiliki. Mengapa ini berlaku sebelum sempat dia mematrikan cinta mereka. Cinta Aufa dan Orkid bagaikan menemui kegersangan sebelum sempat disemai dan dibaja.
Pelamin impian, pelamin mimpinya ingin Orkid sebagai pengantinnya yang malu-malu saling berbalas pandang diiring doa dan paluan kompang. Kini impian jauh dari gapaian, pengantinnya hanya Orkid dan Cuma bunga Orkidnya itu selamanya. Biarlah pelamin itu musnah terbakar dia tidak peduli, biarkan semuanya…Biar.
***
Gambar seorang gadis dengan matanya yang dibasahi air mata, hidungnya dan pipinya merah, sangat cantik dan menarik hati sesiapa sahaja untuk berhenti dan menikmati keindahan gambar bersaiz gergasi yang melatari Aufa’s Gallery Studio. Titisan air matanya kelihatan hidup dan begitu meruntun perasaan.
Jemarinya menyentuh titisan air mata itu, merasakan kesedihan dan perasaan Orkid yang terpamer dalam gambar itu. Sebelah tangan lagi menyentuh dadanya, mengharap Orkid dapat mendengar hatinya yang merindui.
“Encik Aufa Danial, pasti sangat mencintai gadis dalam gambar ini bukan?”
Danial berpaling, kelihatan tersentak tetapi pantas senyum.
“Ya dan amat merindui.”
“Saya boleh melihat semua itu dari pandangan mata encik Aufa. Tapi sayang saya rasa gadis ini pasti mengamuk besar kalau dia nampak gambar ini.”
“Tak mungkin.”
“Tak mungkin?” Gadis manis bertudung biru laut ini semakin menghampiri.
Dan Danial melangkah setapak ke belakang. Wajah manis gadis ini bertukar kepada senyuman luar biasa yang berubah baran.
“Bapak gajah punya besar gambar Orkid abang taruk kat dinding ni, buruk pula tu. Baik abang turunkan balik. Turunkan balik.”
Pengunjung galeri memandang mereka berdua dan ada antara mereka yang berbisik sendiri dan ketawa bila melihat Orkid mengejar Aufa yang juga pemilik galeri ini.
Orkid berhenti mengejar, dan ideanya datang. Pantas dia mengaduh dan memegang perut. Danial terhenti langakah dengan wajah yang cemas. Mendekati Orkid dan memeluk kesayangannya, tangan memegang perut gadis manis itu.
“Sorry, Orkid. Kenapa, okay tak ni? Nak pergi hospital tak?”
Orkid mendekatkan wajah ke telinga Danial.
“Baik abang turunkan gambar tu. Dahlah buruk, buat malu sahaja.”
Danial tersengih, tahu Orkid mengenakannya.
“Never in a million years.”
Orkid menarik muka masam, sengaja memalingkan wajah tidak mahu memandang Danial. Danial merapatkan dirinya mendekatkan wajahnya pada belakang Orkid. Perlahan tangannya melingkari pinggang Orkid. Tiada reaksi.
Wajahnya diletakkan di atas bahu Orkid dan berbisik halus ke telinga membuat Orkis kegelian dan dia dapat melihat ekor bibir Orkid bergerak, dia senyum.
“Orkid tak pernah buruk di mata abang. Orkid sentiasa pengantin Aufa Danial yang manis. Orkid Hanani lensa kamera abang tidak menipu, begitu juga lensa mata abang. Ia sentiasa mengatakan Orkid Hanani makhluk Allah paling cantik, paling menawan, paling menarik yang pernah seorang Aufa Danial dan kameranya rakam. Hanya Orkid, hanya dia.”
Orkid tersenyum, tangannya mengusap tangan Danial. Suaminya, temannya dan pengantinnya. Hanya dia.
“Orkid sayangkan abang.”
“Abang tahu. Terima kasih Orkid ku.”
Tepukan dan siulan nakal berbunyi bergema memenuhi ruang Aufa’s Gallery Studio. Bagai disimbah air, mereka berdua baru tersedar mereka menjadi perhatian sejak tadi. Membuatkan Orkid malu dan berpaling menyembamkan mukanya ke dada Danial. Oh suamiku, sungguh hanya kamu, hanya kamu.
“Abang tahu.” Bisik Danial bagai mengerti fikiran Orkid.
Perlahan dia membawa Orkid dalam pelukannya dan menaiki tangga ke pejabatnya di tingkat atas. Oh Tuhan sungguh dia bahagia. Orkid Hanani, pengantin perempuan yang dirakam lensa kameranya satu ketika dahulu, berijab Kabul dengan lelaki lain yang membuatkannya separuh gila memendam perasaan pada milik orang. Kini menjadi miliknya yang sah.
Hanya dia dan hanya dia sahaja. Tiada lain.
#Tamat#
14/9/2013-16/9/2013
11:15 malam
Halilah Baharoddin






No comments:

Post a Comment